JENAZAH Ezzedine yang diselubung dengan bendera Hamas diusung untuk dikebumikan di Jenin, Tebing Barat, semalam.
JENAZAH Ezzedine yang diselubung dengan bendera Hamas diusung untuk dikebumikan di Jenin, Tebing Barat, semalam.
Agensi

Nablus: Seorang lelaki Palestin terbunuh selepas ditembak polis Israel di kem pelarian di utara Tebing Barat, semalam.

Sumber perubatan dan keselamatan berkata, Ezzedine Ghora, 23, ditembak di lengan dan dada dan mati sebelum tiba di hospital.

Dalam satu kenyataannya, polis Israel berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis sempadannya menyerbu kem di bandar Jenin itu pada awal pagi untuk melakukan penangkapan.

“Polis melihat suspek cuba melontar bahan letupan ke arah mereka,” kata kenyataan itu.

Seorang anggota polis sempadan berkenaan menembaknya.

Bagaimanapun, cawangan Hamas di Jenin yang mendakwa Ezzedine anggotanya menuduh polis Israel menembak lelaki itu ketika dia keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh.

Menurut mereka tidak ada sebarang rusuhan berlaku ketika itu.

“Polis Israel sengaja melepaskan tembakan,” menurut kenyataan Hamas menerusi akaun Twitternya.

Kenyataan itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ezzedine selain menggesa Pihak Berkuasa Palestin dan pasukan keselamatannya menghentikan kerjasama keselamatan dengan Israel, merujuk kepada perjanjian autonomi Oslo yang ditandatangani pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 6:59 AM