DR Abd Latif bersama warga media selepas menanam pokok.
DR Abd Latif bersama warga media selepas menanam pokok.
Oleh Mohamad Hussin


Usaha warga media memartabatkan alam sekitar mendapat pengiktirafan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan penganjuran Majlis Penghargaan Media 2015 di Taman Botani, Kepong, baru-baru ini.

Penganjuran kali ketiga agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu membabitkan lebih 100 media cetak dan elektronik.

Majlis berkenaan diadakan atas sokongan dan sumbangan media kepada usaha FRIM dalam meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan, pemuliharaan hutan serta penjagaan alam sekitar.

Seramai 17 penerima daripada 11 organisasi media menerima sijil penghargaan dan menyertai aktiviti menanam pokok sebagai tanda kenangan bagi majlis berkenaan.

Bagi menghargai jasa warga media, pihak FRIM turut ‘menghadiahkan’ sebuah taman media di Taman Botani.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, pihak media memainkan peranan penting membantu pembangunan negara dan pembentukan masyarakat yang peka dan sayangkan alam semula jadi.

Beliau berkata, FRIM sememangnya mendapat sokongan dan kerjasama baik dari pihak media dalam perlaksanaan pelbagai program pendidikan dan kesedaran alam.

“Mereka yang dipilih menerima penghargaan FRIM adalah rakan media dari organisasi yang menunjukkan komitmen, dedikasi dan keprihatinan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Ia menunjukkan betapa pentingnya usaha R&D dalam bidang perhutanan, pemuliharaan alam sekitar dan kekayaan kepelbagaian biologi hutan tropika.

“Sempena ulang tahun ke-30, FRIM mengambil kesempatan memberi penghormatan dan penghargaan kepada media yang banyak memberi sokongan dan kerjasama kepada FRIM, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Menurutnya, FRIM menerima sokongan yang baik daripada pihak media dalam mewar-warkan hasil penemuan penyelidikan, perkhidmatan dan aktiviti yang dilaksanakan.

“Saya bagi pihak FRIM ingin mengucapkan terima kasih kepada warga media yang banyak berjasa dalam melaksanakan tugasan meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Ia bukan hanya berkenaan peranan FRIM, tapi turut membabitkan kepentingan usaha secara kolektif terhadap pemuliharaan, penjagaan hutan, kepelbagaian biologi dan kekayaan sumber alam negara ini.

“Saya percaya ramai pengamal media mengambil berat isu alam sekitar seperti perubahan iklim, kejadian banjir kilat dan jerebu yang memberikan impak kepada kehidupan seharian kita.

“Justeru, diharap warga media terus menggunakan kuasa penulisan yang ada untuk menyumbang ke arah usaha pemuliharaan hutan dan penjagaan alam semula jadi supaya khazanah alam ini terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Dr Abd Latif berkata, FRIM bersedia memberi kerjasama kepada pihak media dengan memberi idea, berkongsi pengalaman serta hasil penemuan R&D ke arah usaha ini.

“FRIM juga melaksanakan program ‘outreach’ seperti sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Alam Sekitar Sedunia untuk menggalakkan pembabitan masyarakat dalam usaha menanam pokok dan menjaga alam sekitar.

“Selain itu, FRIM berusaha meningkatkan perkongsian maklumat dengan masyarakat awam melalui pihak media dan saluran lain seperti laman sesawang FRIM, Facebook FRIM dan penerbitan.

“Sememangnya warga media pasti terus memainkan peranan yang aktif membantu FRIM dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum terhadap kepentingan pemuliharaan hutan serta penjagaan alam semula jadi negara,” katanya.

Pada majlis itu, warga media turut diberi kesempatan menanam pokok di Taman Botani sebagai tanda kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 12:21 PM