Aksi bertaraf dunia gimnastik artistik Vietnam Phan Yhi Ha Thanh meleburkan hasrat atlet negara Farah Ann Abd Hadi menyambar pingat emas dalam acara individu keseluruhan semalam.

Ketika atlet Vietnam itu yang pernah memenangi gangsa di Kejohanan Dunia 2011 serta menjuarai Sukan SEA empat tahun lalu melakukan aksi sempurna dalam kesemua empat aparatus melombol, palang bertingkat, kekuda pelana dan lantai, Farah pula melakukan sedikit kesilapan berbanding ketika membantu pasukan memenangi emas kelmarin.

Dalam aksi di Kompleks Sukan Bishan itu, Farah, 21, mengumpul 51.850 mata berbanding Ha Thanh (53.650) yang meraih mata tertinggi dalam aparatus melombol, kekuda pelana dan lantai.

Malah Farah yang terjatuh ketika beraksi dalam aparatus kekuda pelana bangkit menyempurnakan persembahan terbaik dalam aparatus lantai untuk memintas peserta tuan rumah Nadine Nathan yang mengumpul 51.000 mata.

“Saya turun beraksi dalam final hari ini (semalam) dengan ranking teratas jadi memang ada tekanan. Tapi saya tidak kecewa kerana perak ini juga pencapaian yang baik kerana empat tahun lalu saya hanya menduduki tangga keenam.

“Memang ada peningkatan kali ini kerana saya memberikan saingan kepadanya (Ha Thanh). Untuk bersaing dengannya yang pernah layak ke Olimpik dan memenangi pingat di Kejohanan Dunia memberikan keyakinan kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:23 AM