Basyar Mustapha akui sesebuah persahabatan yang positif tidak terkira nilainya.

Ramai yang mengakui kawan baik memberi kita semangat dalam kehidupan, boleh bergelak ketawa, berkongsi duka dan membuatkan kita rasa dihargai walaupun bukan darah daging sendiri.

Mana-mana agama atau falsafah di atas muka bumi ini pun menerapkan nilai murni dalam sesuatu jalinan termasuk antara sahabat.

Adakah persahabatan kita ada itu sekuat yang kita mahukan? Mungkin tanda-tanda ini boleh menunjukkan ia sebuah persahabatan yang sihat dan patut dihargai.

Sahabat sebenar bersikap jujur

Sahabat membuatkan rasa kita selesa menjadi diri sendiri jadi tidaklah perlulah kita berpura-pura menjadi seseorang yang lain. Mereka tahu kelemahan dan kekurangan kita, namun tetap menerima kita seadanya. Malah kita adalah versi terbaik diri sendiri apabila berada dengan mereka.

Namun, tidak bererti mereka tidak boleh bersikap jujur kepada kita. Kawan yang baik akan ikhlas memberi pandangan dan komen, namun dengan cara yang baik dan niat yang betul untuk kebaikan diri kita selain kebaikan persahabatan. Begitu juga kita perlu bersikap jujur untuk kebaikan mereka. Tidak takut menjadi jujur namun dengan cara yang betul, itulah persahabatan yang sihat.

Percaya sesama sendiri

Sebuah persahabatan yang sihat mempunyai satu nilai kepercayaan yang tinggi. Kawan yang boleh dipercayai boleh menyimpan rahsia dan tidak bercerita kekurangan kita kepada orang lain dengan niat memburukkan dan begitu juga sebaliknya untuk kita.

Kepercayaan bermaksud kita boleh berkongsi perasaan atau perkara tentang kehidupan kepada mereka dan rasa yakin bahawa mereka boleh cuba mamahami dan menjadikannya satu perkara antara dia dan kita sahaja. Bila kita ragu-ragu mahu berkongsi, mungkin ia belum sampai pada tahap persahabatan yang sihat.

Luas silaturahim

Walaupun kita dan kawan dah macam belangkas tapi tidak semestinya tidak boleh berkawan dengan orang lain. Sahabat sejati dalam persahabatan yang sihat tidak kisah jika kita atau dia mempunyai rakan baik yang lain dan berjumpa rakan baru, malah sahabat yang bagus akan memperkenalkan kawan baru kepada rakan baiknya.

Ia membuatkan jalinan kenalan lebih meluas dan baik untuk perkembangan hidup dan kerjaya. Tidak salah juga berjauhan untuk beberapa ketika dengan rakan baik dan apa yang penting kita selalu berhubungan dan bolehlah meluangkan masa dengan rakan yang lain. Tidak cemburu simbol persahabatan yang sihat.

Beri sokongan

Apa-apa hubungan pun memerlukan pihak di dalamnya berusaha begitu jugalah dalam memastikan persahabatan yang sihat. Jika kita dan kawan sering memberi semangat sesama sendiri dalam setiap turun naik atau percubaan dalam kehidupan, ia adalah petanda yang sihat. Jika tidak atau agak malu memberi kata semangat, berikanlah dalam cara bersahaja dan cara kita sendiri. Ia mesti memberi kesan baik dalam hubungan.

Tidak lupa hari penting buat mereka dan meraikannya, itu menunjukkan lagi betapa dalam dan sihatnya persahabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 10:41 AM