Kuala Selangor: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PAS apabila menewaskan pencabarnya, bekas Naib Presiden Ahmad Awang pada pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan PAS ke-61, di sini, malam tadi.

Abdul Hadi memperoleh 928 undi meninggalkan jauh Ahmad yang sekadar mendapat 233 undi.

Sementara itu, kejutan bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menewaskan penyandang Mohamad Sabu selepas mendapat 881 undi berbanding 279 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula Idris Ahmad mendapat undi tertinggi sebanyak 942 diikuti Datuk Iskandar Abdul Samad (801 undi) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (778 undi).

Dua penyandang jawatan itu, Salahuddin Ayub sekadar meraih 320 undi dan Datuk Husam Musa pula mendapat sebanyak 267 undi.

Bagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, yang terpilih adalah Nasruddin Hassan Tantawi, Dr Riduan Mohamad Noor, Datuk Mohd Nasruddin Daud, Sallehen Mukhyi,

Nik Zawawi Salleh, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hasan, Datuk Abdullah Hussin, Razman Razali, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Mokhtar Senik, Zaharudin Muhammad, Ali Akbar Gulasan, Mazlan Aliman, Dr Rosni Adam, Mohd Noor Mohamad, Muhamad Sanusi Md Nor dan Nor Azli Musa.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Asmuni Awi mengumumkan keputusan berkenaan di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 10.15 malam .

Seramai 1,189 perwakilan layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada sesi petang mulai jam 4 petang sehingga jam 7 malam bagi menentukan nasib semua pemimpin yang bertanding bagi sesi 2015-2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 12:41 AM