KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya disaran agar menggunakan jalan alternatif berikutan kejadian tanah mendap di Lebuhraya Sultan Iskandar (dahulunya Jalan Mahameru).

Polis Trafik Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, lencongan jalan terpaksa dilakukan berikutan kejadian itu, namun kerja-kerja membaik pulih sedang giat dijalankan.

Menurut kenyataan itu pengguna Jalan Tun Razak (arah timur) menuju arah selatan disaran agar menggunakan Jalan Kuching/Jalan Kinabalu/Jalan Damansara; Jalan Parlimen/Jalan Kinabalu dan Jalan Tun Razak (selatan).

Bagi mereka yang menuju Jalan Bangsar dari Jalan Tun Razak, mereka boleh menggunakan Jalan Kuching/Jalan Kinabalu/Jalan Damansara; Jalan Kuching/Bulatan Segambut/Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta) atau Jalan Semantan.

Manakala pengguna disaran menggunakan Jalan Kuching atau Bulatan Segambut jika mahu menuju arah Tol Duta (utara).

Bagi laluan ke selatan dari arah Jalan Parlimen, pengguna boleh menggunakan Persiaran Tuanku Jaafar (Carcosa)/Jalan Damansara atau Jalan Kinabalu/Jalan Maharajalela.

Semalam berlaku keretakan jalan dan mendapan tanah di laluan Lebuhraya Sultan Iskandar menuju Muzium Negara sehingga menyebabkan laluan itu yang menghala ke selatan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan mulai 8 malam.

Menurut pihak bomba dan penyelamat, laluan itu akan dibuka semula apabila ia tidak lagi membahayakan pengguna. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 4:31 PM