Kuala Lumpur: Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menjangka sambutan memberangsangkan terhadap produk halal Malaysia di China menerusi kerjasama dengan dua pasar raya di negara itu.

PPIPBM akan mengeksport barangan halal buatan Malaysia menerusi Beijing Hualian Group Supermarket dan Lianhua Group yang masing-masing mempunyai 106 dan 6,000 pasar raya di seluruh China.

Bendahari Agung PPIPBM, Ramlan Abdul Majid berkata, melalui perjanjian ditandatangani bulan lalu, barangan keluaran tempatan akan dipamerkan di rangkaian pasar raya itu yang mempunyai ramai penduduk Islam.

“Sebagai contoh, Xining yang terletak di daerah Qinghai mempunyai tiga rangkaian pasar raya Beijing Hualian Group, dua juta penduduk Islam dan bandar keempat yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi,” katanya kepada media selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Dewan Peniagaan Qinghai China dan Dewan Perniagaan Cina Muslim Malaysia, di sini, semalam.

Hampir 40 peratus daripada 1,500 ahli PPIPBM berstatus sedia-eksport dan memasuki pasaran Asia Barat.

Ramlan berkata, barangan yang akan dijual rangkaian pasar raya terbabit berasaskan makanan dan minuman.

“Proses membawa masuk barangan Malaysia mungkin mengambil masa sehingga dua bulan dan menerusi program promosi terdahulu, kita membawa masuk hampir 26 syarikat ke dalam pasaran negara itu. Kali ini kita menyasarkan 26 syarikat itu sebagai jumlah minimum,” katanya.

Eksport barangan halal Malaysia ke China pada 2014 bernilai AS$1.7 bilion apabila makanan diproses, bahan halal serta produk berasaskan sawit adalah penyumbang utama.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia-China merosot kepada AS$13.67 bilion berbanding AS$14.74 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Perniagaan Qinghai, Zhao Heng Lun berkata, pusat pameran untuk barangan buatan China akan dibuka di Malaysia sebagai usaha memperkenalkan barangan halal dari daerah Qinghai kepada rakyat Malaysia.

Sebanyak 1,000 barangan dipamerkan di pusat pameran berkenaan.

“Kami masih di peringkat perbincangan dan akan memutuskan lokasi serta tempoh melaksanakan rancangan itu,” katanya.

Menurut Zhao, pertumbuhan ekonomi China lebih perlahan pada Januari hingga Mac turut mendorong syarikat kecil dan sederhana negara itu mencari peluang perniagaan di luar negara.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 6:37 AM