MESKIPUN berdepan dengan isu pertambahan siswazah menganggur, namun pengeluaran graduan tidak boleh dihentikan kerana boleh memberi kesan jangka panjang kepada sektor pembangunan ekonomi dan sumber tenaga negara. - Gambar hiasan
MESKIPUN berdepan dengan isu pertambahan siswazah menganggur, namun pengeluaran graduan tidak boleh dihentikan kerana boleh memberi kesan jangka panjang kepada sektor pembangunan ekonomi dan sumber tenaga negara. - Gambar hiasan
ADA pihak menyalahkan institusi kerana menawarkan program baru yang diketahui belum mampu memberi peluang pekerjaan, namun persepsi berkenaan perlu diperbetulkan kerana ia penting bagi menampung keperluan jangka panjang negara. - Gambar hiasan
ADA pihak menyalahkan institusi kerana menawarkan program baru yang diketahui belum mampu memberi peluang pekerjaan, namun persepsi berkenaan perlu diperbetulkan kerana ia penting bagi menampung keperluan jangka panjang negara. - Gambar hiasan
DAPATKAN maklumat lengkap mengenai program baru supaya tidak timbul masalah kemudian hari sama ada dalam proses pembelajaran mahupun ketika mencari pekerjaan. - Gambar hiasan
DAPATKAN maklumat lengkap mengenai program baru supaya tidak timbul masalah kemudian hari sama ada dalam proses pembelajaran mahupun ketika mencari pekerjaan. - Gambar hiasan
PROGRAM baru masih mampu menawarkan pekerjaan cuma agak terbatas dan memerlukan syarat tertentu seperti pemilihan jantina contohnya. - Gambar hiasan
PROGRAM baru masih mampu menawarkan pekerjaan cuma agak terbatas dan memerlukan syarat tertentu seperti pemilihan jantina contohnya. - Gambar hiasan
JANGAN salahkan siswazah yang mengikuti program baru sebagai punca siswazah program sedia ada sukar memperoleh pekerjaan sebaliknya perlu melihat faktor kelemahan diri sendiri sebagai penyumbang. - Gambar hiasan
JANGAN salahkan siswazah yang mengikuti program baru sebagai punca siswazah program sedia ada sukar memperoleh pekerjaan sebaliknya perlu melihat faktor kelemahan diri sendiri sebagai penyumbang. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin

Antara yang paling dikhuatiri dan sering menjadi persoalan siswa terutama mereka yang berada di tahun akhir pengajian ialah ‘adakah aku mampu memperoleh pekerjaan selepas bergraduasi?’

Lambakan siswazah yang semakin meningkat saban tahun di tengah-tengah persaingan sengit industri pekerjaan menyebabkan ramai siswa khuatir bergelar penganggur terhormat.

Selain faktor lemahnya penguasaan siswa dalam aspek kemahiran insaniah, pemilihan program yang masih baru dan belum mempunyai tapak kukuh pekerjaan dalam industri turut menjadi antara punca siswazah menganggur.

Biarpun program baru berkenaan dikatakan penting untuk menampung pembangunan jangka panjang negara, jumlah siswa yang semakin bertambah dan peluang pekerjaan yang masih belum meluas menimbulkan konflik.

Justeru, apakah yang boleh dilakukan bagi menangani kemelut ini?

Apakah kepentingan program baru yang diperkenalkan ini mampu melonjakkan lagi pencapaian siswa untuk mengisi kekosongan bidang kritikal negara untuk jangka masa panjang?

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi perlu meneliti dan memahami lebih mendalam program diikuti sebelum membuat pemilihan.

Beliau berkata, cara itu penting bagi mengelak siswa tersilap pilih dan menimbulkan konflik bukan saja sewaktu pengajian, malah apabila mencari pekerjaan.

“Rentetan daripada dasar ekonomi yang menjadi semakin global, banyak program baru diwujudkan bagi mempelbagaikan sumber tenaga manusia dalam bidang kerjaya tertentu.

“Pengenalan program baru adalah sesuatu yang biasa dilakukan di institusi luar negara, namun di negara ini ia tidak mudah kerana memerlukan proses yang panjang serta syarat ketat.

“Namun, pengeluaran graduan tidak boleh dihentikan menjadikan isu siswazah menganggur tidak berkesudahan yang menyaksikan peningkatan berlaku saban tahun,” katanya.

Beliau berkata, pengenalan program baru terutama dalam program kritikal membabitkan sains dan teknologi tidak boleh dilihat penyumbang utama dalam isu pengangguran siswazah.

“Ada melemparkan tuduhan kerana program baru inilah ramai siswazah menganggur kerana siswazah bidang turut ‘mencuri’ peluang pekerjaan orang lain.

“Dalam dunia kompetitif hari ini, semua orang mahu merebut peluang disediakan, tetapi faktor lain seperti kelemahan berkomunikasi dan kemahiran diri juga perlu diambil kira,” katanya.

Mengikut statistik pada 2013, seramai 210,000 penganggur mencari peluang pekerjaan dengan 56 peratus daripadanya adalah siswazah.

Manakala faktor utama menyumbang ke arah isu berkenaan ialah kurangnya kompentensi siswazah untuk mengikut kemahuan majikan terutama kemahiran berbahasa Inggeris dan komunikasi.

Beliau tidak menafikan, program baru di negara ini belum mampu menawarkan peluang pekerjaan luas kepada siswazah.

Menurutnya, industri pekerjaan di negara ini yang masih belum diteroka sepenuhnya adalah antara faktor mengapa peluang pekerjaan untuk program baru agak terbatas.

“Negara kita bukanlah pemegang ekonomi dunia seperti negara luar yang lebih besar, justeru pengenalan pelbagai prospek ekonomi masih belum diteroka sepenuhnya.

“Peluang pekerjaan juga masih menumpukan kepada bidang sedia ada selain penawaran pekerjaan saban tahun yang hanya berskala sederhana.

“Ini juga salah satu faktor mengapa siswazah program baru terpaksa berhempas pulas mencari peluang pekerjaan yang terhad seperti siswazah program lain,” katanya.

Ada pihak menyalahkan institusi kerana menawarkan program baru biarpun sudah tahu senario yang berlaku.

“Ada pihak beranggapan institusi seperti tidak mengendahkan isu ini, namun perlu diketahui, tanggungjawab institusi adalah memberi ilmu kepada generasi sedia ada agar dapat diteruskan kesinambungannya pada masa depan.

“Pengenalan program baru terutama jika membabitkan penyelidikan dan inovasi juga adalah cabaran kepada institusi bagi memastikan kelangsungan proses ilmu serta ketidakputusan tenaga kerja dalam industri yang akan dibangunkan untuk jangka panjang,” katanya yang tidak menyangkal memang sukar untuk program baru bertapak pada peringkat permulaan.

“Proses ini sama saja seperti program sedia ada yang suatu ketika dulu melalui proses yang sama.

“Setiap peringkat pembangunan dan kejayaan sesuatu program perlu melalui fasa-fasa tertentu sebelum boleh menjadi kukuh.

“Justeru, tidak perlu meletakkan kesalahan pada pengenalan program baru sebaliknya mencari alternatif membantu siswa seperti memperkenalkan pelbagai modul pengajian berbentuk akademik atau pengukuhan kemahiran insaniah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 10:14 AM