Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

Guru. Apabila disebut saja perkataan ini secara tidak langsung akan mengimbas kembali memori mengenai sesuatu yang sangat terkesan di dalam minda dan hati kita.

Ada yang apabila disebut perkataan ini, akan terpacul di mindanya gambaran sekolah. Ada juga apabila disebut perkataan ini tergambar di ingatannya wajah guru yang pernah mendidiknya.

“Masa ayah kat sekolah dulu cikgu suruh berdiri tengah panas sebab lupa buat kerja rumah.” Dialog seperti ini hampir kebanyakan daripada kita dengar daripada ibu, ayah atau datuk kita yang mengimbas kembali zaman dan kenangan persekolahan mereka satu ketika dulu. Pendek kata, setiap orang pasti ada memori ‘indah’ atau tidak dapat dilupakan bersama guru mereka.

Perkataan ‘guru’ ini umpama ‘keramat’ yang pasti tersemat dalam sanubari kita hingga bila-bila. Setiap daripada kita pasti pernah melalui zaman persekolahan hinggalah ke universiti.

Sepanjang hidup kita, pasti pernah melalui proses menuntut ilmu daripada mereka yang dipanggil guru ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan profesion ini hinggakan dunia mengkhaskan satu hari yang digelar ‘Hari Guru’ pada 16 Mei setiap tahun.

Memang sukar untuk dinafikan betapa rapatnya kehidupan kita pada hari ini dengan jasa guru sebelum ini. Profesion seorang peguam, arkitek, jurutera, doktor dan sebagainya pada asalnya dibentuk oleh guru dari zaman persekolahan lagi.

Kita mampu membaca dan mengira, pasti juga hasil daripada tunjuk ajar guru. Tiada manusia yang mampu membaca dan mengira jika tiada guru yang sanggup mengajar mereka mengenal satu demi satu huruf dan mengajar kita formula demi formula untuk mengira.

Saya terkenang zaman persekolahan dulu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh antara subjek yang sangat saya tidak gemar adalah mata pelajaran Matematik.

Memang satu ketika saya berasakan subjek berkenaan adalah yang paling sukar di dunia untuk saya fahami. Setiap kali ujian atau peperiksaan, saya antara pelajar yang mendapat markah terendah dalam kelas. Hinggakan saya berasa benci atau ‘alergik’ dengan mata pelajaran ini.

Sampai saya masuk ke tingkatan lima, subjek Matematik kelas saya ketika itu diajar oleh guru penolong kanan yang terkenal dengan sifat tegasnya. Setiap kali subjek Matematik, semua murid diminta fokus dengan apa yang diajar olehnya.

Jangan sekali-kali cuba melihat buku rujukan atau membuat perkara lain ketika dia mengajar, nescaya akan ada ‘objek’ terbang yang hinggap di muka atau kepala.

Formula yang diajarnya pula luar daripada kebiasaan. Formulanya tidak dapat ditemukan dalam mana-mana ‘kitab’ matematik.

Apa yang menghairankan, akhirnya kami pasti menemukan jawapan sama dengan cara perkiraan yang menggunakan cara ‘standard’ walaupun jalan kiranya agak istimewa.

Namun kadangkala guru saya ini agak pelik. Pelik kerana membuat kelas tambahan pada waktu yang luar daripada kebiasaan. Kadang-kadang buat selepas Subuh. Ada waktu dibuat pada waktu petang (di mana waktu petang adalah waktu pelajar asrama bermain) dan adakalanya pada hari bercuti.

Memang saya dan kawan agak tertekan ketika itu untuk membiasakan cara luar biasa yang diamalkan oleh guru Matematik saya ini.

Namun selepas beberapa bulan, saya mula berminat dengan subjek Matematik dan teruja untuk menjawab soalan latihan. Hasilnya, saya dapat merasakan ada peningkatan daripada ujian ke ujian dan akhirnya saya berjaya melepasi markah gagal.

Alhamdulillah, daripada sering mendapat gred ‘D’ dan ‘E’, saya berjaya mendapat gred A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berkenaan dan sehingga kini saya masih terhutang budi dengan beliau kerana membantu ‘mengeluarkan’ saya dari zon bahaya ini.

Begitu juga dengan guru subjek lain ketika itu yang bersungguh-sungguh membantu kami untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sama. Hingga kini, jika ada peluang pasti saya akan menziarah mereka setiap kali menjelang Syawal.

Namun akhir-akhir ini, hati ini sering tersentak setiap kali membaca laporan akhbar mengenai mereka yang bernama ‘guru’. Tersentak apabila membaca berita ada murid yang kurang adab dan tidak menghormati guru mereka.

Begitu juga dengan sesetengah ibu bapa yang terlalu ‘protektif’ terhadap anak mereka sehinggakan langsung tidak boleh disentuh oleh guru di sekolah. Malah ada juga yang mengeluarkan kenyataan di media seolah-olah memandang rendah profesion yang mulia ini.

Ada pula yang sanggup membuat laporan polis hanya kerana perkara remeh-temeh. Justeru tidak hairanlah kita menghadapi dilema masalah sosial yang serius dalam kalangan remaja akhir-akhir ini.

Pada saya, kita mungkin perlu memberikan golongan guru ini sedikit ruang dan tidak terlalu menekan mereka dalam usaha mereka mendidik anak kita ini. Insya-Allah, saya berasakan setiap guru pasti mahu melihat setiap anak didiknya menjadi ‘manusia’ pada masa hadapan.

Bak kata Saidina Ali, “Jika kamu mahu melihat bagaimana masa hadapan sesebuah bangsa (negara), maka lihatlah anak-anak muda mereka ketika itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 12:48 AM