Tujuh yang ditahan bagi membantu siasatan. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Tujuh yang ditahan bagi membantu siasatan. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun maut dibelasah dua lelaki dalam kejadian di rumah mangsa di Kampung Lusut Jaya 1, Taman Tunku, Miri, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10 malam itu, mangsa bersama isterinya didatangi dua lelaki berusia 30-an yang menyerang dan memukul mangsa dengan batang penyapu.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, isteri mangsa yang ketakutan melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

"Ketika pulang semula ke rumah, isterinya mendapati suaminya itu dalam keadaan berlumuran darah dan sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

"Kemudian berlaku cabar mencabar mengakibatkan mangsa maut dibelasah," katanya.

Katanya, sejurus menerima laporan, dua suspek berkenaan dan lima lagi lelaki ditahan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 6:05 PM