ANTARA projek kerjasama Bina Puri dan Lakehill Resort Development.
ANTARA projek kerjasama Bina Puri dan Lakehill Resort Development.

Kuala Lumpur: Bina Puri Holdings Berhad (Bina Puri) menerusi anak syarikatnya, Bina Puri Properties Sdn Bhd (Bina Puri Properties) akan memulakan usaha sama membangunkan projek kediamannya di Lakehill Resort City, bandar yang pesat membangun berhampiran Masai, Johor.

Perjanjian pembangunan bersama ditandatangani antara syarikat dengan Lakehill Resort Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysia Pacific Corporation Berhad untuk membina 412 unit rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM204 juta.

Pengarah Eksekutif Bina Puri, Matthew Tee berkata, pembangunan bersama itu adalah pelaburan sederhana yang akan memainkan peranan lebih besar kepada kumpulan di rantau ini yang tidak jauh dari Singapura.

“Iskandar Malaysia menjadi kuasa besar ekonomi negara dan rancangan jangka panjang kumpulan adalah untuk terus meletakkan syarikat memainkan peranan aktif serta menjadi pemain dalam koridor ekonomi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Lakehill Resort City diapit Jalan Tebrau di sebelah timur, Lebuhraya Senai-Desaru di utara yang memberi akses mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lebuhraya Pasir Gudang di selatan untuk terus sampai ke Pasir Gudang.

Lakehill Resort City juga adalah projek hartanah bersepadu di selatan tanah air, bukan sahaja menyediakan persekitaran kediaman dan perniagaan bertaraf enam bintang, malah mampu menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini.

Sementara itu, Tee berkata, kerjasama terbabit dijangka tidak akan memberi kesan kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Bina Puri bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015.

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:04 AM