P Joshua (kiri) dibawa anggota polis trafik ke Mahkamah Majistret Jawi. FOTO Amir Irsyad Omar
P Joshua (kiri) dibawa anggota polis trafik ke Mahkamah Majistret Jawi. FOTO Amir Irsyad Omar
Oleh Shamsul Munir Safini


Jawi: Seorang jurujual, P Joshua, 26, didenda RM16,200 dan penjara tujuh hari selepas mengaku bersalah ke atas 44 pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan trafik beserta waran tangkap sejak 2007 di Mahkamah Majistret Jawi, di sini, hari ini.

Tertuduh mempunyai 89 rekod saman dengan 44 daripadanya beserta waran tangkap.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesemua 44 kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkenaan di antara 25 November 2007 sehingga 5 April tahun ini.

Joshua bagaimanapun minta dibicarakan bagi satu lagi pertuduhan langgar mati penunggang motosikal berusia 29 tahun pada 2014 lalu.

Majistret Rashidah Baharom membenarkan ikat jamin RM4,000 ke atas tertuduh dan pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nor Sakinah Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 2:04 PM