London: Jurulatih veteran Belanda, Dick Advocaat akan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Sunderland beberapa hari selepas beliau memastikan mereka mengekalkan status Liga Perdana.

Pengendali berusia 67 tahun itu, antara pencapaiannya memenangi kejuaraan liga di tiga negara, mendedahkan beliau menerima tawaran dari kelab lain namun ketika beliau menghampiri hari jadi ke-68 (27 September ini), beliau tidak mahu lagi terbabit dengan pengurusan kelab.

“Sunderland satu daripada kemuncak karier saya,” kata Advocaat yang menangis kegembiraan apabila Sunderland meraih satu mata yang diperlukan untuk kekal selepas seri 0-0 dengan Arsenal minggu lalu pada perlawanan kedua terakhir musim.

“Pada satu tahap kehidupan anda, anda perlu membuat keputusan dan saya hampir 68 tahun sekarang.

“Beberapa kelab menghubungi saya tapi keputusan adalah Sunderland atau tiada mana-mana pasukan.”

Advocaat yang melatih Rangers bagi dua kejuaraan Scotland dan dua kejayaan piala selain PSV Eindhoven bagi kejuaraan Belanda dan Zenit St Petersburg pada liga Russia, menggantikan Gus Poyet dari Uruguay di Sunderland Mac lalu apabila mereka berada di ambang zon penyingkiran.

Bagaimanapun, kecuali kalah pada perlawanan pertama, beliau membantu mereka menang tiga dan seri tiga daripada baki lapan perlawanan terakhir bagi mengekalkan status elit mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:07 PM