Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat seramai 24 pegawai kanan polis.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Bukit Aman, mengetuai senarai adalah Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIIPS) Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Deputi Komisioner (SDCP).

Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador pula yang sebelum ini memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP) dinaikkan pangkat dengan memangku Senior DCP, manakala Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Datuk Leo Chong Cheong dinaikkan pangkat dengan memangku pangkat SDCP.

Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim pula dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor, Datuk Datuk Hasnan Hassan dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Ketua Polis Perak manakala Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Wan Abd Hamid Wan Mahmud kini memangku pangkat Senior Deputi Komisioner (SDCP).

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Ab Rahman dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Polis Terengganu manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah (Pelucuthakkan Harta/Perundangan/Tahanan) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 6:47 PM