Saya runsing setiap kali memikirkan betapa sukarnya berdepan dengan ibu mentua tiri yang kini menetap bersama di kediaman kami.

Untuk pengetahuan Datuk, ibu bapa mentua saya lebih setahun menetap bersama tanpa sebarang penjelasan bila mereka akan kembali ke kediaman sendiri.

Pada awalnya, saya tidak kisah mereka datang dan menginap bersama apalagi, ibu mentua tiri (jauh lebih muda daripada suaminya) memang nampak ramah dan baik hati.

Namun, perasaan saya berubah sejak beberapa bulan lalu kerana sebagai menantu, saya mempu­nyai timbang rasa yang tinggi memastikan kehidupan mereka terjaga.

Walaupun gaji kami tidak besar, saya masih menghulur wang kepada bapa mentua untuk melengkapkan keperluan harian.

Namun, saya kecewa apabila ibu mentua tiri menunjukkan belang sebenar kerana rutin hariannya tidak sepadan dengan tanggungjawab yang perlu digalas.

Ketika saya keluar bekerja, ibu mentua masih lena. Makan minum suami dan anaknya ala kadar termasuk hujung minggu.

Ada beberapa kali saya menegur perlakuannya yang kadangkala leka menonton televisyen dan meng­abaikan tanggung­jawab mengurus anaknya, tapi dia hanya akur seketika.

Perkara ini turut disedari suami, namun dia sukar membuat keputusan kerana bimbang mengguris perasaan bapanya.

Hakikatnya, kami rimas kerana hilang privasi di kediaman sendiri. Rumah pula kerap bersepah, dapur tidak terurus dan kain bersih menggunung tidak berlipat.

Kemuncaknya, saya jadi hilang sabar apabila terbaca status Facebook ibu mentua yang mengaku aman di rumah ketika kami sekeluarga keluar.

Jujurnya, saya tidak mampu menipu diri dan sebolehnya mahu menikmati hidup seperti dulu. Saya penat dengan permainan psikologi ibu mentua yang kian kotor.

Anum

Kuala Lumpur

Sememangnya Islam tidak menggalakkan pasa­ngan yang berkahwin tinggal bersama dengan mentua kerana dibimbangi berlaku salah faham akibat sikap dan tingkah laku kedua-dua pihak.

Maklumlah mentua dan menantu tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini, tetapi berada dalam satu rumah secara drastik.

Sudah tentu keadaan itu mengakibatkan timbulnya rasa tidak selesa dan serba salah terutama apabila hendak menegur di atas apa-apa perbuatan atau perangai yang tidak disukai.

Dari sudut pandangan seorang menantu, dia agak rimas apabila setiap perlakuannya diperhatikan setiap masa atau selalu menerima teguran walaupun di atas kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan.

Keadaan ini biasanya terjadi apabila menantu tinggal dirumah mentua.

Bagi mengatasi masalah itu, biasanya pasangan tadi keluar dari rumah mentua dan mencari kediaman sendiri.

Bagaimanapun, kes dihadapi puan ini agak berbeza apabila mentua yang datang dan tinggal di rumah serta membuat kerenah. Secara tidak langsung, situasi sebegini meletakkan puan dalam keadaan serba salah.

Dalam hal ini, orang yang sepatutnya memainkan peranan ialah suami puan.

Dia sepatutnya bercakap secara baik dengan ayahnya supaya dapat keluar dari rumah secara terhormat tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Jika perkara itu tidak dapat di lakukan suami, elok puan bersemuka de­ngan semua dan menerang­kan secara baik kenapa mereka perlu keluar dari rumah puan.

Dengan izin Allah, ­mereka akan faham jika puan bercakap seolah-olah meminta pertolongan dan jasa baik mereka dan bukannya menghalau secara kasar atau menyindir mereka.

Seperkara juga yang ingin saya bangkitkan di sini ialah mengenai sikap mentua yang sepatutnya tidak menyusahkan kehidupan anak menantu mereka.

Berilah peluang kepada anak menantu yang baru memulakan kehidupan rumah tangga untuk mencorakkan keluarga mereka sendiri secara bebas tanpa gangguan yang tidak wajar kerana ini akan me­nyebabkan timbulnya permasalahan kepada rumah tangga mereka sehingga membawa kepada perbalahan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:00 AM