MENGHAFAZ al-Quran aktiviti wajib untuk peserta.
MENGHAFAZ al-Quran aktiviti wajib untuk peserta.
BERKUDA antara aktiviti yang mampu memberikan keseronokan kepada anak-anak.
BERKUDA antara aktiviti yang mampu memberikan keseronokan kepada anak-anak.
PELAJAR bergambar selepas aktiviti berkuda.
PELAJAR bergambar selepas aktiviti berkuda.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Penulis teringat satu cerita yang disampaikan seorang ibu mengenai anak lelakinya yang sudah memasuki usia akil baligh. Anak lelaki yang baru saja mencecah usia 14 tahun itu diceritakan sebagai seorang yang manja dan penakut sehinggakan ada kalanya masih tidur dengan ibunya. Namun, suatu hari sebaik saja bangun tidur, dia dengan malu-malu memberitahu mengalami mimpi basah.

Terkejut dan terkedu dengan pengakuan anak sulungnya ini, si ibu terus memberitahu suaminya untuk mendapatkan pendapat serta meminta suaminya menerangkan apa yang sepatutnya dilakukan selepas mencapai usia akil baligh. Walaupun Aiman sangat manja dengannya, dia berasa perkara itu terlalu ‘besar’ dan penting bagi lelaki dan sepatutnya diuruskan oleh bapa kerana mereka mempunyai fizikal dan emosi yang sama.

Ramai ibu begitu teruja menantikan saat anak lelaki dan perempuan mereka mencapai usia akil baligh disebabkan fasa ini dikatakan sangat mencabar kerana mereka sudah mencapai tempoh perubahan masa daripada zaman kanak-kanak kepada remaja. Sama ada anak lelaki atau perempuan, mereka akan mengalami pengalaman baru membabitkan perubahan fizikal, mental, emosi dan sosial.

Perubahan ini secara tidak langsung akan mengubah bentuk badan, cara berfikir, mengendalikan perasaan, cara bergaul, berkomunikasi dengan orang lain dan paling penting kaitan akil baligh dengan pengaruh media sosial.

Menurut Pengusaha Akademi al-Quran ABS Ad’deen Mahani Ismail, mencapai usia akil baligh adalah fasa yang memerlukan ibu bapa memberikan penerangan dengan lengkap mengenai apa yang sedang berlaku serta perubahan seterusnya sama ada dari segi fizikal, mental dan emosi. Namun, tidak ramai ibu bapa bersikap terbuka untuk membicarakannya. Ada yang mengambil sikap sambil lewa sehingga anak-anak ini mendapatkan penerangan daripada rakan sebaya dan ada juga mencari sendiri di Internet.

“Akil baligh fasa penting yang akan dilalui semua kanak-kanak, iaitu zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada remaja yang berlaku pada usia lapan hingga 15 tahun untuk perempuan dan 12 hingga 15 tahun untuk lelaki.

“Jika dulu anak-anak masih dianggap kecil, tidak matang dan manja, apabila peralihan ini berlaku ibu bapa seharusnya memahami yang anak mereka akan mengalami kematangan sistem saraf dan saiz otak sebagai persediaan ke arah mencapai tahap dewasa. Dalam proses ini, mereka sudah dapat membentuk satu nilai dan sistem etika yang akan dijadikan panduan apabila usia bertambah setiap tahun,” katanya.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ibu bapa adalah menerangkan mengenai pentingnya mandi wajib dengan sempurna. Walaupun hal ini sudah diajar di sekolah, lebih baik jika ia disampaikan sendiri oleh ibu bapa. Ini kerana mandi wajib yang betul akan menentukan solat serta ibadah yang lain sama ada diterima Allah atau sebaliknya. Selain solat, mereka juga sudah diwajibkan menunaikan tanggung­jawab kepada Allah seperti berpuasa di bulan Ramadan serta menjaga aurat masing-masing.

“Namun, ada ibu bapa tidak ambil kisah mengenai mandi wajib tanpa menerangkan dengan betul kepada anak remaja. Kesannya akan menyebabkan solat mereka tidak sah dan lebih penting rasa bercelaru, tiada keyakinan diri dan tidak tenteram disebabkan mandi wajib yang tidak sempurna,” katanya.

Fasa perkembangan akil baligh juga berbeza antara setiap individu. Biasanya kanak-kanak lelaki lebih lewat memasuki tempoh akil baligh berbanding perempuan. Semua ini dipengaruhi oleh kadar hormon dalam badan masing-masing. Secara tidak langsung, pelbagai perubahan dialami secara berperingkat antaranya menjadi lebih pendiam, mempunyai perasaan berubah-ubah, suara lebih garau serta perkembangan fizikal yang sangat cepat.

Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka lebih cepat didatangi haid pertama iaitu seawal lapan hingga sembilan tahun. Pada saat itu mereka masih tercari-cari identiti diri dan mula mencuba. Mereka juga semakin bersifat feminin dan gemar bergaya. Masa inilah sangat penting ibu terutamanya rapat dengan anak perempuan dan menganggap seperti seperti rakan.

Jika ibu bapa tidak dapat menguruskannya dengan baik, anak-anak akan mencari saluran berbeza untuk meluahkan perasaan serta berkongsi dengan rakan sebaya.

Akil baligh dan peranan media sosial

Dari sudut psikologi pula, remaja menunjukkan sifat ingin tahu yang sangat ketara. Kepantasan dan keagresifan teknologi maklumat menjadikan anak remaja mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Jika sebelum ini mereka tiada akaun media sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan Instagram, sebaik saja mencapai akil baligh mereka berkeinginan mempunyai akaun media sosial berkenaan sama ada dengan pengetahuan ibu bapa atau tidak.

“Tambahan pula sekiranya mereka dikelilingi rakan yang mempunyai FB atau Instagram, mereka dikatakan tidak ‘cool’ atau tidak masuk geng sekiranya tiada laman sosial ini. Namun, mereka tidak sedar media sosial sering digunakan remaja yang tidak mempunyai keyakinan diri. Menerusi pergaulan alam maya tanpa mendedahkan pergerakan badan serta bahasa tubuh, ia ruang paling sesuai menyembunyi rasa takut atau malu,” katanya.

Jika tidak diberitahu mengenai kebaikan atau keburukan media sosial ini menjadikan remaja khayal dan berada dalam dunia mereka sendiri. Keseronokan ini tercetus disebabkan peralihan usia menjadikan emosi mereka berubah. Ia disebabkan perubahan hormon yang dihasilkan daripada tubuh menjadikan ‘mood’ atau perasaan mereka sering berubah-ubah. Bagi remaja perempuan yang baru didatangi haid, mereka mempunyai rasa malu, takut dan kurang keyakinan diri.

“Dengan emosi sebegini, mereka mula mencari identiti sendiri dan bentuk imej yang akan ditonjolkan. Emosi ini jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan segelintir mereka menjadi degil, tidak mahu mendengar nasihat, sering merungut dan menangis tanpa sebab,” katanya.

Berdasarkan Teori Perkembangan Erikson, zaman remaja adalah tahap apabila mereka berada dalam kecelaruan identiti. Mereka cuba berusaha mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia dan cuba mencari jawapan kepada persoalan ‘siapa aku?’

Dalam usaha mencari jawapan, sekiranya ibu bapa hanya menyerahkan semata-mata kepada sekolah atau masyarakat untuk menjelaskannya ia akan menyebabkan persepsi atau tanggapan remaja menjadi lebih buruk. Dalam mempelajari perubahan emosi yang dialami remaja, menurut Crow & Crow (1958), emosi adalah pengalaman efektif yang disertai dengan penyesuaian mengenai keadaan mental dan fizikal sekali gus mewujudkan tingkah laku yang nyata. Berusaha menguruskan emosi anak remaja akan menyebabkan emosi mereka menjadi lebih stabil.

“Sebab itu ibu bapa digalakkan menjadi rakan kepada anak-anak mereka. Cara ini membolehkan mereka berasa diri mereka dihargai. Berusaha menjadi rakan karib juga menjadikan anak remaja bersedia bercerita dan meluahkan perasaan. Ini sangat penting bagi mengelak anak-anak terjerumus dalam pelbagai masalah sosial,” katanya.

Dengan kepesatan perkembangan teknologi maklumat, ibu bapa seharusnya bersedia menggunakan pengaruh media sosial ke arah kebaikan. Jika ibu bapa menghalang anak-anak mereka, mereka akan mendapatkannya menerusi saluran berbeza. Kesediaan untuk menerima atau menggunakan laman sosial bergantung kepada ibu bapa. Mungkin mereka boleh memberikannya, namun dipantau setiap masa.

“Ada yang bertanya cara memantau pergerakan anak-anak menggunakan media sosial terutama FB. Ini boleh dilakukan dengan mengehadkan penggunaanya di rumah. Juga memberikan telefon genggam yang tidak mempunyai aplikasi Internet sebaliknya hanya telefon dan khidmat pesanan ringan (SMS) saja. Namun, ia juga bergantung sejauh mana ibu bapa berasa yang anak mereka benar-benar bersedia menerimanya.

“Media sosial membawa pengaruh yang sangat besar kepada anak-anak. Ia akan mendedahkan kepada banyak perkara negatif berbanding positif. Bermula dengan berkenalan kemudian membawa kepada pertemuan dan akhirnya mewujudkan masalah sosial yang lain. Laman sosial juga mencetuskan gejala siber buli serta pahlawan papan kekunci yang kerjanya asyik menulis perkara negatif serta memburukkan orang lain,” katanya.

Menyedari pentingnya ibu bapa mengetahui secara lebih mendalam mengenai akil baligh dan peranan media sosial terhadap anak remaja, sepanjang cuti persekolahan yang bermula pada minggu hadapan Akademi Al-Quran ABS Ad’deen akan menganjurkan Summer Tahfiz Bootcamp bermula pada 31 Mei sehingga 6 Jun ini. Ia bukan saja menekankan mengenai topik akil baligh dan peranan media sosial, tetapi secara menyeluruh dengan menjurus aspek fizikal, emosi dan rohani bagi membentuk jati diri remaja ke arah kesempurnaan berteraskan al-Quran.

Program yang dijalankan sepanjang tahun ini bukan saja menyertakan aktiviti hafazan al-Quran, tetapi penekanan akhlak Islamiyah secara menyeluruh bagi pembentukan sahsiah diri pelajar menerusi modul berteraskan al-Quran. Program ini terbuka untuk peserta bermula usia tujuh hingga 16 tahun, bertujuan membantu generasi Islam agar celik al-Quran, mencintai, memahami dan membudayakan al-Quran sebagai gaya hidup mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 1:34 PM