Zeti  (kiri) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Kewangan Labuan, Ahmad Hizzad  pada pengumuman laporan tahunan Labuan FSA 2014, semalam.
Zeti (kiri) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Kewangan Labuan, Ahmad Hizzad pada pengumuman laporan tahunan Labuan FSA 2014, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan menerima laporan dari Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bahawa syarikat berkenaan tidak menyimpan wang di bank negara mereka.

Ini berikutan terdapat laporan media bahawa MAS bekerjasama dengan BNM berhubung siasatan akaun kewangan 1MDB yang dikaitkan dengan BSI Bank Singapore.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, maklumat yang diterimanya akan dibawa kepada pihak berkuasa yang berada dalam bidang kuasa di Malaysia dan laporan berkenaan juga adalah bersifat sulit serta tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan daripada mengganggu proses siasatan.

“Kami tidak boleh mengulas lanjut mengenai entiti individu dan komuniti antarabangsa tidak akan bekerjasama sekiranya kami mendedahkan laporan yang diterima dari pihak mereka,” katanya selepas mengumumkan laporan tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) 2014 di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, BNM juga menjelaskan pinjaman perumahan tidak diketatkan bagi pembeli rumah mampu milik kali pertama, tetapi bagi pembelian hartanah kediaman kali ketiga untuk mengelak risiko keadaan hutang yang berlebihan di negara ini.

“Semua peminjam perlu lulus penilaian kemampuan. Kami melakukan ini sebagai panduan kepada bank untuk mengelak risiko keadaan hutang yang berlebihan,” katanya ketika mengulas mengenai jumlah permohonan yang ditolak tinggi menyebabkan ramai pemaju menangguhkan pelancaran hartanah.

Dalam pada itu, sepanjang 2014, Labuan FSA mencatatkan pertumbuhan 12.3 peratus bagi pendaftaran syarikat baru dan daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus berasal dari Asia.

Dua lesen perbankan baru juga diluluskan yang mana satu diberikan kepada sebuah bank Emiriah Arab Bersatu dan satu lagi bank dari China.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, pendapatan operasi Labuan FSA meningkat kepada RM52.7 juta berbanding RM39.9 juta pada tahun sebelumnya manakala jumlah rizabnya juga berkembang daripada RM39.2 juta kepada RM52.4 juta.

Zeti berkata, tiga hala tuju strategik Labuan FSA dari 2015 hingga 2017 dijangka terus memberikan sinergi kepada kerjasama dan hubungan kewangan dengan Asia.

“Tambahan, ia juga meningkatkan pembangunan dalam kewangan Islam serta mengukuhkan landskap perundangan dan pengawalselian di Labuan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (IBFC.)

“Memandangkan Labuan IBFC berpotensi untuk memenuhi keperluan kewangan dan perniagaan Asean serta rantau Asia Pasifik yang besar, Labuan FSA akan terus memantapkan rejim pengawalan dan penyeliaannya selain meningkatkan kecemerlangan operasi Labuan IBFC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:23 AM