GEORGE TOWN: Lapan pekerja binaan tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah kongsi yang dijadikan tempat kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Persiaran Tanjung Bungah 3, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Mohd Rizuan Ramli berkata kebakaran pukul 3 petang itu turut memusnahkan sebuah kontena sepanjang 100 meter yang dijadikan stor simpanan peralatan serta bahan binaan.

“Pekerja warga asing berkenaan hanya sedar rumah mereka terbakar apabila ternampak asap tebal dari tempat mereka bekerja, kira-kira 40 meter dari rumah mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata ketika anggota bomba tiba, hampir keseluruhan struktur bangunan itu musnah dijilat api dan pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 7:51 PM