Anyeonghaseyo! Tidak pernah berhenti mencari bakat terbaik untuk diketengahkan, agensi pengurusan artis di Korea Selatan antara yang paling komited berbuat demikian.

Bukan saja mengangkat rakyat negara mereka, malah agensi-agensi berkenaan turut meluaskan pencarian ke negara-negara Asia lain.

Melangkah setapak ke hadapan, ketika ini agensi popular FNC Entertainment mengambil inisiatif berbeza apabila membuka peluang itu kepada bakat dari Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, lima lokasi di AS iaitu Los Angeles, Orange County, San Francisco, Seattle dan Hawaii bakal menjadi lokasi uji bakat yang pastinya memerlukan peserta menampilkan kelainan.

Peserta yang berjaya dijangka bernaung di bawah agensi popular terbabit. Bukan itu saja, mereka juga bakal menyertai artis-artis terkenal FNC termasuklah CNBlue, Juniel, AOA dan FT Island.

Kriteria yang dikehendaki juga nampak­nya cukup menyeluruh apabila agensi itu mencari bakat-bakat berkebolehan me­nyanyi, bermain muzik, berlakon, model dan menari.

Sesi uji bakat secara ‘online’ sudah dibuka penyertaannya dan boleh dihantar dengan melayari laman web rasmi agensi terbabit.

Membuka Ulzzang! ming­gu ini, malang tidak berbau buat anggota kumpulan hebat EXO iaitu Lay apabila mengalami kecederaan di bahagian pinggang, kelmarin.

Terdahulu, penyanyi itu sepatutnya menghadiri sesi ramah mesra dengan 150 peminat di sebuah acara.

Bagaimanapun, akibat kecederaan itu dia terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan beberapa jam sebelum acara bermula.

Namun, kerana tidak mahu mengecewakan peminat yang menunggu, Lay tetap gagahkan diri menghadiri sesi berkenaan.

Begitulah komitednya penyanyi berkenaan bagi menjaga hati peminat dan sanggup mengetepikan kesakitan.

Awal bulan ini, Lay turut mengalami kecederaan pada bahagian tengkuknya sewaktu menjayakan penggambaran sebuah program di China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 11:02 AM