Kuala Lumpur: Tahun lalu, Tai Cheau Xuen mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Asia menerusi acara wushu tetapi di sebalik itu, ada satu lagi kejutan yang dihidangkan atlet terbabit apabila dia didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang.

Begitupun, insiden berkenaan tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus aktif dan selepas tamat tempoh penggantungan Mac lalu, Cheau Xuen kini kembali tersenarai dalam skuad yang akan mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Singapura bulan depan.

Pengalaman lalu tidak menyebabkan dia trauma dan Cheau Xuen mengaku sudah bersedia beraksi biarpun tidak sampai dua bulan dia kembali berlatih bersama skuad wushu negara.

Katanya, keluarga serta jurulatih sentiasa memberi sokongan kepadanya dan dia mensasarkan untuk tampil mempamerkan aksi terbaik sekali gus menghadiahkan emas buat skuad negara dalam acara kombinasi nanquan dan nandao.

“Persediaan semuanya berjalan lancar dan semua mengikut program yang diatur jurulatih. Saya kini hanya menunggu masa untuk beraksi dan sudah bersedia memberikan yang terbaik.

“Keluarga banyak membantu saya untuk kembali dalam sukan ini. Apa yang berlaku memberi saya pengalaman berguna untuk lebih berhati-hati dalam apa juga keadaan,” katanya.

Cheau Xuen menghadiahkan emas untuk skuad negara pada Sukan SEA 2001 dan 2003 serta gangsa pada penampilan ketiga dan keempat iaitu pada temasya Sukan SEA Korat dan Vietnam.

Tahun lalu, Cheau Xuen, 24, menyumbang emas pertama negara di Korea Selatan namun didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 8:00 AM