MANGSA (kiri) cedera ditembak suspek dipercayai kurang siuman.
MANGSA (kiri) cedera ditembak suspek dipercayai kurang siuman.
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Seorang lelaki berusia 34 tahun cedera ditembak seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di depan rumah mangsa di Kampung Bekenu Asli, Bekenu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 10.55 pagi itu, mangsa yang juga peniaga buah-buahan ditembak dari jarak lebih kurang 40 meter oleh suspek berusia 37 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, kejadian berlaku ketika mangsa keluar dari rumahnya sebelum suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.

Menurutnya, rumah suspek dengan rumah mangsa hanya bertentangan dan mangsa mengenali suspek berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai kurang siuman dan mendakwa mangsa sering menganggu keluarganya," katanya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di leher, muka dan dada sebelah kanan dan sedang mendapat rawatan di Hospital Miri.

"Suspek sudah ditahan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 3:22 PM