Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Negara masih lagi mempunyai asas ekonomi yang kukuh dengan rizab antarabangsa berada pada paras RM392.4 bilion yang masih lagi mampu untuk melunaskan import tertunggak sebanyak lapan bulan berbanding piawaian minimum iaitu tiga bulan.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tahap modal di sektor perbankan seperti nisbah modal ekuiti biasa kumpulan 1 (CET1), nisbah modal kumpulan 1 dan nisbah jumlah modal melebihi paras pengawalseliaan minimum iaitu 12.5 peratus, 13.2 peratus dan 15.2 peratus.

“Ini bermakna bank di Malaysia masih mampu menjana pembiayaan tanpa perlu risau terhadap tahap kecukupan modal mereka. Aktiviti pembiayaan yang berterusan dan diikuti suasana kadar faedah yang stabil mampu menjana pertumbuhan yang lebih mapan,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan sebegini adalah baik dan berupaya untuk menyediakan asas yang kukuh bagi negara untuk mencapai ke tahap yang seterusnya.

“Namun, kita perlu meletakkan harapan yang realistik memandangkan prestasi ekonomi negara juga terdedah kepada faktor luaran yang di luar bidang kawalan pemerintah.

“Oleh itu, penting untuk kita memastikan asas ekonomi sentiasa berada dalam keadaan stabil supaya ianya boleh membantu sekiranya menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berjaya melepasi jangkaan 5.4 peratus yang diunjurkan penganalisis ekonomi apabila mencatatkan 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Prestasi pertumbuhan ekonomi negara juga lebih baik jika dibandingkan prestasi ekonomi negara serantau dengan pertumbuhan KDNK suku pertama bagi negara seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Indonesia, masing-masing pada kadar 2.1 peratus, 2.4 peratus, 3.5 peratus dan 4.7 peratus.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah negara mampu mengulangi pertumbuhan 6.0 peratus seperti yang dicatatkan tahun lalu.

“Mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), dinyatakan bahawa pertumbuhan perbelanjaan swasta juga disokong oleh faktor seperti usaha bantuan pemulihan banjir pada awal tahun dan juga perbelanjaan yang dipercepatkan oleh isi rumah sebelum perlaksanaan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu.

“Dua faktor ini memberi gambaran bahawa ia mungkin tidak diulangi. Bahkan perbelanjaan pengguna berkemungkinan mengalami sedikit pembetulan memandangkan sentimen pengguna yang begitu lemah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 6:21 AM