KEMERIAHAN majlis hari jadi  Mika dan akikah Leyla.
KEMERIAHAN majlis hari jadi Mika dan akikah Leyla.
KEMERIAHAN majlis hari jadi  Mika dan akikah Leyla.
KEMERIAHAN majlis hari jadi Mika dan akikah Leyla.
NABIL menyambut kedatangan Ustaz Don.
NABIL menyambut kedatangan Ustaz Don.
KELUARGA bahagia Nabil.
KELUARGA bahagia Nabil.
Oleh Norhayati Nordin


Tiada apa yang menggembirakan hati seorang bapa melainkan dapat me­laksanakan impian indah buat anak tersayang. Itulah yang dikongsikan pengacara dan pelawak terkenal, Ahmad Nabil Ahmad, 32, yang menganjurkan dua majlis serentak buat dua puteri pengikat kasihnya bersama isteri, Nazirah Ayub, 27, iaitu Naera Mikayla, dua tahun enam bulan dan Leyla Medyna yang baru berusia dua bulan.

Ditemui pada majlis akikah Leyla dan ulang tahun Mika yang berlangsung Sabtu lalu, Nabil berkata dia sudah lama menyimpan niat untuk meraikan anak-anaknya. Namun, hasrat itu sering tertangguh kerana terikat komitmen kerja.

“Sepatutnya sambutan ulang tahun Mika yang kedua dianjurkan November tahun lalu tetapi ketika itu saya sangat sibuk dengan pelbagai urusan. Bahkan, jadual kerja pun padat.

“Jadi, hasrat meraikan ulang tahun Mika itu terus tertangguh sehinggalah Leyla dilahirkan. Rezeki saya pula memenangi tempat ketiga pada Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) lalu.

“Oleh itu, mengambil kira kemenangan diraih sebagai rezeki anak membuatkan saya perlu menganjurkan majlis kesyukuran buat mereka. Syukur, akhirnya apa yang saya hasratkan menjadi kenyataan,” katanya.

Mengatur masa selama dua bulan untuk penganjuran majlis itu, Nabil berkata kini hatinya tenang kerana segala janji sudah ditunaikan. Menurutnya, dia juga tidak menyangka majlis itu berlangsung dengan meriah.

Berbicara mengenai pengalamannya menjaga dua cahaya mata, akui anak jati kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu tidak banyak perubahan berlaku. Ujarnya, dia beruntung dikurniakan anak yang tidak meragam.

“Mika dan Leyla senang dijaga. Sejak bayi, mereka tidak pernah meragam dan mudah untuk diuruskan. Bahkan, sepanjang mengandung juga Zira tiada alahan.

“Isteri saya juga tidak pernah mengidam makan itu dan ini. Zira senang dijaga sepanjang tempoh dia mengandung,” katanya.

Mengulas sikapnya yang dilihat membiarkan saja anak-anaknya disentuh tetamu, Nabil berkata dia menganggap sentuhan setiap tetamu itu adalah doa. Justeru, kenapa ia harus disekat.

Lagipun, ujarnya semua tetamu yang hadir pada majlis itu mereka kenal iaitu dalam kalangan keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.

“Jadi, tiada apa yang hendak saya persoalkan sekiranya mereka memegang dan menyentuh anak-anak saya. Dalam soal menyentuh anak, saya memang tidak meletak sebarang syarat.

“Anak-anak saya pun OK dan seronok. Mereka tidak meragam meskipun Leyla masih bayi. Apapun, bagi saya semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak mereka dan apa yang dilakukan bertujuan melindungi.

“Selain itu, saya juga menganggap diri bernasib baik kerana tidak pernah berhadapan peminat yang suka membuat perbandi­ngan. Setakat ini, anak-anak saya tidak pula dibanding-bandingkan.

“Kalau ada pun peminat yang buat perbandi­ngan anak saya, biarkanlah mereka. Saya takkan ambil kisah dan mempedulikannya. Bagi saya, komen yang dibuat itu adalah hak masing-masing,” katanya.

Menurut Nabil, sebagai orang dewasa yang sudah berkeluarga dia sekadar bertindak secara matang. Ujarnya, biasalah kehidupan seorang selebriti yang menjadi perhatian peminat dari segala sudut.

Nabil berkata, dia lebih selesa tidak melayan dan membiarkan saja. Jelasnya, kalau kebanyakan individu yang menulis di laman sosial matang, pasti mereka takkan sembarangan memberi komen.

Seramai 400 tetamu hadir pada majlis serba meriah di Yayasan Seni, Jalan Ritchie di ibu kota dari jam 11 pagi hingga 6 petang itu. Turut hadir, Hazama, Black, Angah Raja Lawak, Douglas Lim, Sharifah Shahirah dan Ijoy Azhari.

Teringin ke Tanah Suci

Jika sebelum ini, Nabil melaksanakan tanggung­jawab sebagai anak dengan memenuhi impian ibu bapa dan mentuanya mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, kini hasratnya pula dimakbulkan Allah SWT.

Buat kali pertama, Nabil akan menjejak kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah pada Julai nanti berseorangan. Katanya dia akan berada selama 10 hari di sana dan pulang ke tanah air sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

“Saya sangat teruja untuk menjadi tetamu Allah SWT. Meskipun, tanpa ditemani isteri tetapi saya bersyukur kerana impian dimakbulkan oleh-Nya.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah tetapi lebih baik saya tunaikan impian ibu bapa dan mentua dulu. Jadi, Alhamdulillah sekarang saya pula mendapat peluang.

“Cuma, sedih jugalah apabila tidak dapat membawa Zira bersama kerana Leyla masih kecil dan me­nyusu badan. Apapun, ini rezeki saya untuk mengerjakan umrah selepas sekian lama menyimpan hasrat. Bagi saya, apa yang diperoleh sekarang ini buat keluarga adalah nikmat Allah SWT yang mesti disyukuri,” katanya.

Berbicara perkembangan kerjayanya yang cukup menyerlah, Nabil berkata dia suka menyahut cabaran dan enggan melepaskan peluang. Ujarnya, setiap peluang itu adalah rezeki.

Mengakui segala yang dilakukan mengikut kemampuan diri, Nabil berkata yang pasti dia tetap ada masa bersama keluarga. Jelasnya, jadual kerja yang padat tidak sedikit pun mengganggu masanya bersama mereka.

“Mika dan Leyla jenis tidur lewat. Jadi, apabila saya pulang dari bekerja mereka masih berjaga. Bolehlah saya bermain-main dengan mereka walaupun sudah lewat malam.

“Mika terutamanya sekarang sangat aktif bermain dan tak pelat bercakap. Senang melayannya. Apapun, Mika suka menyanyi dan menyukai lagu Malaikat nyanyian Hazama.

“Bagaimanapun Mika seorang yang pemalu beraksi depan orang dan kamera. Saya selalu perhatikan, kalau dia seorang diri memang ‘menjadi’,” katanya.

Mengakui anaknya belum bersedia untuk beraksi dalam iklan komersial, Nabil berkata tawaran untuk Mika memang ada. Namun, dia dan isteri lebih tahu sejauh mana kemampuan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:01 AM