Manchester, United Kingdom: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini (gambar) terus yakin masa depannya di kelab itu dan percaya jurang dengan juara Liga Perdana Chelsea mampu dirapatkan musim depan.

City bertandang ke Swansea hari ini dengan tiada kepastian sama ada Pellegrini kekal membimbing kelab Eastlands selepas berakhirnya kempen musim ini.

Pellegrini, yang kini mengharungi tahun kedua dalam kontrak tiga tahun, membimbing City meraih kejuaraan Liga Perdana dan Piala Liga pada tahun pertama, namun akan menamatkan musim 2014/15 tanpa sebarang trofi.

City, turun malam ini dengan kedudukan kedua, disingkirkan Barcelona pada pusingan kedua Liga Juara-Juara, selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun tanpa sebarang kejuaraan musim ini, Pellegrini yakin akan terus membimbing kelab itu dan tidak mempunyai perancangan untuk mendapatkan kepastian daripada pemilik City Sheikh Mansour mengenai masa depannya.

“Saya tidak perlu berbincang mengenainya,”kata Pellegrini mengenai kemungkinan mesyuarat untuk membincangkan masa depannya.

“Saya mempunyai masa depan yang jelas, masih ada beberapa tahun, jadi ia tidak penting,” kata pengendali dari Chile itu.

Pellegrini akan mendapat kembali khidmat pemain tengah Yaya Toure dan kapten Vincent Kompany bagi perlawanan di Stadium Liberty, percaya jurang City dan Chelsea tidak terlampau jauh.

“Tahun depan, kami akan melakukan sedikit perubahan,” katanya.

“Saya tidak fikir kami terlalu jauh dari Chelsea atau pasukan lain, dan pada perlawanan menentang Chelsea, kami tidak melihat sebuah pasukan yang lebih baik berbanding kami namun mereka lebih konsisten sepanjang tahun ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:04 AM