Oleh Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Pasukan Bawah 23 negara menewaskan Sabah 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Likas, malam tadi.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak menunggu lama apabila mendahului tuan rumah seawal minit pertama menerusi jaringan Muhd Nurridzuan Abu Hassan.

Gol pertama itu berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan Sabah yang menyaksikan Nurridzuan mengambil kesempatan sebelum mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol,Mohd Fazli Paat.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan yang digelar Sabah Rhinos itu rancak melakukan serangan namun beberapa cubaan mereka menerusi ketua pasukan Leopold Alfonso Otong dan penyerang Md Shafiq Jamal berjaya diselamatkan penjaga gol Harimau Muda,Muhd Syazwan Yussof.

Harimau Muda sekali lagi menghukum kelemahan barisan pertahanan Sabah menerusi jaringan Md Faizat Md Ghazali pada minit ke-55 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Skuad muda negara kemudian melengkapkan kemenangan 3-0 hasil penalti Farhan Roslan selepas dia dikasari dalam kotak penalti.

Sementara itu, Kim Swee ketika ditemui selepas perlawanan itu berkata, beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya kerana banyak lagi yang perlu diperbaiki.

“Bagaimanapun corak permainan kami semakin meningkat walaupun pada awal perlawanan pemain agak gopoh.

“Apa yang pasti, kami diberi tentangan hebat Sabah meskipun mereka beraksi tanpa pemain import,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu soal kedua dan beliau berharap aksi persahabatan seterusnya di Indonesia pada 21 Mei nanti, semua pemain akan kekal fokus sebelum menghadapi cabaran sebenar di Sukan SEA Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:17 AM