PASUKAN forensik polis membawa keluar mayat yang rentung dalam kebakaran kilang selipar, kelmarin.
PASUKAN forensik polis membawa keluar mayat yang rentung dalam kebakaran kilang selipar, kelmarin.
AP

Manila: Polis akan memulakan siasatan jenayah terhadap kejadian kebakaran di sebuah kilang di Filipina kelmarin yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 72 kematian selepas mangsa terperangkap di tingkat dua disebabkan jeriji pada tingkap bangunan itu.

Kebanyakan mayat ditemui di tingkat dua kilang selipar getah Kentex Manufacturing Corp yang hangus sepenuhnya, sehari selepas kebakaran selama lima jam di pinggir bandar Manila itu.

Ketika pakar forensik berusaha mengenal pasti mayat mangsa dan membuat semakan dengan senarai nama pekerja yang dilapor hilang, ramai juga yang mempersoalkan sama ada kilang itu mematuhi tahap piawaian keselamatan bangunan dan kebakaran.

Dionesio Candido yang kehilangan anak perempuan, cucu, kakak ipar dan anak saudara dalam kejadian itu berkata, tingkap di tingkat dua kilang itu bukan saja diletakkan jeriji besi malah ditambah dengan pagar dawai.

“Kucing pun tidak akan dapat melepaskan diri menerusi tingkap itu,” katanya.

Katanya dia dibenarkan masuk ke bangunan itu oleh pihak berkuasa dan melihat mayat yang rentung saling bertindih.

Laporan media memetik anggota keluarga mangsa lain sebagai berkata mereka menerima pesanan ringkas meminta bantuan daripada mangsa yang melarikan diri ke tingkat dua itu tetapi hubungan terputus tidak lama selepas itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Leonardo Espina berkata: “Kami akan memfailkan tuduhan terhadap semua pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.”

Ketua bomba Valenzuela Mel Jose Lagan berkata, penyiasat akan meneliti punca mangsa tidak dapat melepaskan diri dari tingkat dua sedangkan wujud jalan keluar yang turut merangkumi laluan bertangga yang cukup lebar menuju ke bahagian belakang bangunan itu untuk keluar.

Mereka juga akan menyiasat sama ada bangunan itu menempatkan terlalu ramai pekerja daripada yang dibenarkan.

Jeriji lazim digunakan di pejabat, kilang serta rumah di Filipina sebagai langkah keselamatan menghalang pencuri.

Namun di pejabat dan kilang ia turut berfungsi menghalang pekerja mencuri barangan atau peralatan milik syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 8:54 AM