Oleh Mohd Fadly Samsudin

Rawang: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Bandar Tasik Puteri, di sini, 2 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Rahmat Ismail, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Tasek Puteri menghala ke Rawang.

"Mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian kanan belakang lori berkenaan yang berhenti ketika lampu isyarat merah.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.30 petang,"katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 10:22 PM