Liverpool: Pengurus Sunderland Dick Advocaat mengenal pasti bahagian tengah sebagai kunci pasukannya ketika pemainnya bersiap sedia berjuang mengelak tersingkir daripada Liga Perdana dengan menentang Everton.

Pengendali Belanda itu memberi tekanan kepada pemain tengah supaya menjaringkan gol yang boleh membantu kelab itu keluar daripada zon penyingkiran dengan hanya baki empat perlawanan.

“Anda tidak boleh selalu mengharapkan penyerang untuk memenangi perlawanan,” kata Advocaat yang mengubah kepada formasi 4-3-3 dan akan meneruskan sistem itu di Goodison Park, malam ini.

“Anda memerlukan pemain tengah yang boleh berlari di belakang penyerang.”

Advocaat menggunakan dua pemain di tengah namun berkata: “Kami sedar di Stoke (apabila Sunderland seri 1-1) kami tidak boleh menangani tiga pemain tengah mereka.

“Anda boleh menguasai perlawanan jika mengawal bahagian tengah. Tengah, serangan dan pertahanan adalah tonggak pasukan. Jika satu atau dua tidak memahami satu sama lain, maka anda berdepan masalah.”

Sistem Advocaat turut menekan bentengnya seperti diakui pertahanan kanan Billy Jones.

“Pertahanan perlu memberikan lebih sumbangan berbanding sebelum ini dan penekanan diberikan supaya kami lebih membantu serangan,” jelas Jones. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:19 AM