FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala selepas kenderaan dipandu abangnya dirempuh Proton Perdana Jalan Parit Karjo, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa bersama abangnya berusia 19 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Sri Gading ke Senggarang sebelum kenderaan jenis Perodua Kenari mereka bertembung dengan kereta Perdana yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, akibat dari rempuhan itu, mangsa parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital bagi menerima rawatan.

"Abang mangsa dan pemandu Perdana bagaimanapun mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 1:09 PM