VAKSIN taun jenis oral kini disenaraikan dalam sistem kesihatan umum buat pertama kalinya di Habsyah.
VAKSIN taun jenis oral kini disenaraikan dalam sistem kesihatan umum buat pertama kalinya di Habsyah.
KEMPEN vaksin komuniti yang dijalankan LG dan IVI seiring dengan sasaran Hari Kesihatan Sedunia tahun ini.
KEMPEN vaksin komuniti yang dijalankan LG dan IVI seiring dengan sasaran Hari Kesihatan Sedunia tahun ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Bencana alam seperti banjir dan kemarau bukan saja merosakkan harta benda, tanaman dan sebagainya, malah menyebabkan pelbagai penyakit serta kehilangan nyawa.

Selalunya penyakit bawaan air seperti demam kepialu (tifoid) dan taun sering menjadi ancaman kala berlakunya bencana hingga ia menjadi antara punca utama kematian akibat kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang, hati, paru-paru serta jangkitan pada bahagian otak.

Taun mudah merebak kala banjir namun ada juga beberapa kawasan yang tidak dilanda bencana itu turut berdepan risiko disebabkan sumber air yang tercemar.

Seperti yang berlaku di Habsyah, wabak taun semakin meruncing di beberapa kawasan dan paling buruk di bandar Shashemenae yang terletak dalam wilayah Oromia berpunca daripada pencemaran di Sungai Ganale.

Sempena Hari Kesihatan Dunia tahun ini, LG Electronics yang bekerjasama dengan Institut Vaksin Antarabangsa (IVI), Biro Kesihatan Wilayah Oromia dan Institut Kesihatan Umum Habsyah berjaya melaksanakan kempen vaksin komuniti bagi melindungi penduduk tempatan daripada wabak taun atau cirit-birit akut (AWD).

Kempen ini seiring dengan tumpuan Hari Kesihatan Dunia yang memberi penekanan terhadap keselamatan makanan dalam kalangan masyarakat.

Hari Kesihatan Dunia adalah hari kesedaran kesihatan global yang diadakan pada 7 April setiap tahun di bawah kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut kenyataan WHO, dianggarkan 582 juta kes penyakit enterik bawaan makanan dan air direkodkan sementara 351,000 dilaporkan meninggal dunia setiap tahun susulan penyakit berpunca daripada makanan serta minuman.

Wabak AWD biasanya merebak daripada air yang tidak dirawat atau tercemar di samping makanan yang dicemari najis daripada individu yang dijangkiti penyakit itu.

Vaksin taun diberikan kepada penduduk bagi membantu melindungi diri daripada kesan bakteria taun vibrio yang mudah didapati daripada makanan dan bekalan air.

Kempen usaha sama itu yang berlangsung sepanjang Februari dan Mac lalu memperkenalkan vaksin taun jenis oral terkini yang dimasukkan dalam sistem kesihatan umum buat pertama kalinya di Habsyah.

Formula cecair diberikan dalam dua dos sepanjang tempoh dua minggu dan ia berupaya memberi perlindungan daripada taun sehingga lima tahun.

Vaksin itu dibekalkan kepada 40 pondok di lapan lokasi sekitar Shashemenae yang mencatatkan 40,000 penduduk berjaya mendapatkan imunisasi terbabit.

Vaksin yang dikembangkan formulanya oleh IVI menerusi kerjasama rakan niaga produk dengan syarikat dari Korea Selatan, India, Sweden, Vietnam dan Amerika Syarikat itu diluluskan penggunaannya oleh WHO pada 2011.

Pada masa sama, kempen itu turut mengumpul data mengenai kebolehterimaan, kebolehlaksanaan dan kos vaksin bagi mencapai hasil yang lebih baik untuk pencegahan pada masa depan.

“Taun adalah penyakit yang sering diabaikan tetapi ia membunuh dan membuatkan berjuta-juta manusia menderita di seluruh dunia. Ia juga berbahaya untuk bayi dan kanak-kanak.

“Atas kerjasama dengan LG dan usaha berterusan daripada rakan kesihatan di Habsyah, kami berjaya meningkatkan kesedaran serta berusaha mengurangkan risiko jangkitan dengan memperkenalkan vaksin yang selamat, berkesan juga berpatutan di negara itu.

“Ia juga disertakan beberapa langkah pencegahan lain seperti sanitasi dan kebersihan diri,” jelas Dr Jerome H Kim, Ketua Pengarah IVI.

Sejak 2010, LG menyokong projek vaksin IVI di Habsyah sebagai salah satu usaha me­nyemarakkan kesedaran ke atas kesihatan umum. Menerusi dana LG, IVI dan rakan kesihatan tempatan di Habsyah menjalankan pelbagai aktiviti sebagai persediaan untuk pemberian vaksin secara besar-besaran termasuk kursus keselamatan vaksin bagi memastikan ia sesuai dengan penduduk tempatan.

Kursus itu dilaksanakan secara kolaborasi dengan Institut Kajian Armauer Hansen (AHRI) yang berpangkalan di Addis Ababa, ibu negara Habsyah.

“Dalam era di mana vaksin dianggap sebagai sesuatu yang ditentang oleh sesetengah kumpulan minoriti kerana berasakan ia boleh memudaratkan kesihatan, kami rasa adalah lebih penting untuk menunjukkan kepada masyarakat mengenai keberkesanannya melindungi tubuh.

“Kolaborasi jangka panjang kami dengan IVI berjaya meningkatkan tahap kesihatan ribuan penduduk Habsyah dan kami akan terus menyokong usaha ini agar dapat disalurkan ke seluruh rantau,” ujar Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Sokongan Perniagaan LG, Lee Choong-hak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 1:55 PM