Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Rompin: "Kalau ini dikatakan gula-gula pilihan raya adakah dari dulu ketika Allahyarham Tun Abdul Razak tubuhkan FELDA ini juga gula-gula?" soal Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya pengumuman kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual beli kepada generasi baru FELDA di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 ditawarkan sebelum ini sebagai gula-gula pilihan raya.

Hishammuddin yang juga Penyelaras Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin berkata, pembangunan dilakukan kerajaan ketika ini adalah menambahbaik apa yang sudah dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak yang menubuhkan FELDA.

"Kita warisi apa dilakukan Allahyarham (Tun Abdul Razak) dengan melakukan penambahbaikan untuk generasi seterusnya. Pada zaman dulu isu ini tidak timbul... apa yang kita lakukan sekarang kena pada masanya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Jentera Johor bersama Menteri Besar Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hishammuddin berkata, pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan peneroka di seluruh negara.

"Bukan hanya di Rompin... kita perluas dan buat secara berperingkat ke seluruh negara, apa yang penting kita tidak pernah abaikan (peneroka) tempat lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak pihak pembangkang dengan mempersoalkan apa peranan mereka dalam melakukan pembangunan di FELDA khususnya berhubung isu perumahan berkenaan.

"Apa mereka buat untuk FELDA?" soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 5:55 PM