Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh keluarga angkatnya, petang tadi.

Mangsa, Muhamad Ammar Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada 4.04 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, selepas dirujuk dari Hospital Jitra (HJ).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pakar perubatan HJ memaklumkan pemeriksaan menemui kesan lebam pada kepala, badan dan kaki mangsa.

Katanya, selain itu hasil pemeriksaan turut mendapati ada kesan luka lama pada paha kanan, manakala tulang selangka kiri mangsa patah.

"Sebelum itu bayi lelaki berkenaan dihantar ke HJ dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai mengalami sawan.

"Bayi berkenaan kemudian dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut kira-kira 11.55 pagi, bagaimanapun meninggal dunia pada jam 4.04 petang tadi," katanya.

Menurutnya, berikutan itu polis menahan pasangan suami isteri berusia 30 dan 40 tahun di Jitra kira-kira 6.45 petang tadi untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HSB untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:52 PM