Azman (tengah) memberi penerangan kepada Md Anizam pada majlis perasmian Tijani Raja Dewa, semalam.
Azman (tengah) memberi penerangan kepada Md Anizam pada majlis perasmian Tijani Raja Dewa, semalam.

Kota Bharu: Dexview Sdn Bhd (Dexview), syarikat usahasama Symphony Life Berhad dan Euro Saga membangunkan projek kediaman eksklusif dan bernilai tinggi di Raja Dewa, di sini, dikenali sebagai Tijani Raja Dewa.

Projek kediaman bercampur mewah itu menawarkan pilihan rumah berkembar, teres dan kondominium yang mengambil inspirasi tradisional serta digabungkan dengan gaya hidup resort penuh privasi.

Pengerusi Eksekutif Dexview Tan Sri Azman Yahya berkata, projek itu membabitkan dua fasa pembinaan dan dibangunkan di tapak tanah seluas enam hektar.

“Fasa pertama adalah pembangunan 16 unit rumah berkembar tiga tingkat, 41 unit rumah teres superlink tiga tingkat dan 150 unit kondominium di tanah seluas 2.9 hektar yang dijangka siap antara tiga hingga empat tahun.

“Sementara fasa kedua menempatkan ruang komersial iaitu premis perniagaan dan hotel yang masih dalam perbincangan. Ia mungkin mengambil masa untuk dilancarkan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Projek itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman, mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Kediaman Tijani Raja Dewa dibangunkan dengan harga pasaran bermula dari RM550,000 hingga RM1.9 juta.

Azman berkata, ketika ini terdapat 13 tempahan untuk unit berkembar dan yakin ia akan terus mendapat perhatian pembeli serta pelabur.

“Dengan lokasinya yang strategik iaitu di bandar Kota Bharu dan berhampiran dengan kemudahan asas lain, ia mampu menarik orang ramai untuk memperoleh kediaman privasi,” katanya.

Ahmad dalam ucapannya dibacakan Md Anizam berharap projek itu memanfaatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:51 AM