Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

Rompin: Aspek pembangunan dan kemajuan yang dicapai menerusi kepimpinan Barisan Nasional (BN) harus dijadikan sebagai garis panduan kepada pengundi muda dalam menentukan hala tuju mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei depan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika golongan muda di Parlimen Rompin mengundi mengikut emosi semata-mata pasti akan menjejaskan masa depan mereka.

"Jangan kita sanggup gadaikan perjuangan dan pembangunan di mana akhirnya (pengundi) mendapat seorang pemimpin yang bukan mewakili kerajaan serta tidak mampu membawa sebarang perubahan.

"(Calon BN) Datuk Hasan Arifin bukan seorang pemimpin yang baru dalam politik dan sudah menimba pengalaman. Beliau mampu menyelesaikan masalah sekiranya dipilih," katanya ketika berucap dalam lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Ibam, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 4:51 PM