Oleh Ariffin Salleh

Kluang: Bekas pesilat Majlis Sukan Sekolah Negeri Johor Norhasliza Ujang, 19, maut dalam kemalangan di Kilometer 84 Jalan Kota Tinggi-Kluang 3.45 petang semalam.

Mangsa yang menunggang skuter bersama rakannya, Noraini Abd Manaf, 19, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kluang.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Delima, Kampung Melayu ketika hujan lebat selepas selesai menghadiri akitiviti silat di sekolah di sini sebelum terbabit kemalangan.

Motosikal mangsa hilang kawalan selepas kenderaan di hadapan berhenti secara mengejut menyebabkan motosikal ditunggang bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad berkata, penunggang dan pembonceng tercampak di atas jalan dan dihantar ke Hospital Kluang selepas mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, penunggang motosikal disahkan mati ketika menerima rawatan di hospital berkenaan 5.45 petang hari yang sama manakala pemboncengnya hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kiri.

"Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kluang untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 10:56 AM