BUAYA jenis tembaga yang ditangkap oleh anggota JPAM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
BUAYA jenis tembaga yang ditangkap oleh anggota JPAM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Junaidi Ladjana


Kinarut: Buaya sepanjang dua meter dengan berat hampir 60 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu di pondok pengawal keretapi berhampiran Taman limau-Limauan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, buaya berkenaan dipercayai ditangkap oleh penduduk kampung lalu ditinggalkan di kawasan pondok kereta api sebelum anggota JPAM Kota Kinabalu yang menerima maklumat daripada orang awam menangkap semula buaya terbabit.

Pegawai JPAM Kota Kinabalu, Leftenan (PA) Hazle Shah Abdul Hamid berkata, sebaik terima laporan daripada orang awam, enam anggota diketuai SM Mohamad Irwandhy Paijan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, buaya jenis tembaga dalam keadaan terikat sebelum anggota JPAM menangkap dan membawa ke pejabat JPAM Kota Kinabalu.

"Buaya itu dipercayai ditangkap oleh penduduk kampung sebelum ditinggalkan di pondok pengawal keretapi," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, buaya sepanjang dua meter dengan berat hampir 60 kilogram akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 12:35 PM