LUAHAN hati Dr Mohamed di laman Facebook.
LUAHAN hati Dr Mohamed di laman Facebook.
Oleh Afiq Hanif


Penyedia perkhidmatan Internet pertama di Malaysia, Jaring Communications Sdn Bhd (Jaring) memperoleh perintah mahkamah untuk berada di bawah pe­ngawasan pelikuidasi.

Ia bermakna, Jaring kini melalui proses likuidasi yang mana aset syarikat dikumpulkan dan digunakan untuk membayar hutang kepada pemiutang.

Pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohamed Awang Lah dalam status laman sosial Facebooknya berkata, perintah mahkamah terbabit dilakukan pada 23 April lalu.

“Saya tidak ada kaitan lagi dengan syarikat selepas bersara pada tahun 2010 namun bagi saya, peristiwa ini menyedihkan dan menggembirakan.

“Sedih kerana entiti yang memperkenalkan perkhidmatan Internet di Malaysia dibiarkan sedemikian rupa, gembira kerana satu pihak yang lebih bertanggungjawab diberi kepercayaan untuk menguruskannya buat sementara,” katanya.

Beliau yang berharap situasi terbabit boleh dipulihkan segera memberitahu episod yang menyedihkan itu bermula selepas Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) menjual Jaring pada awal 2014 kepada satu pihak yang hanya berminat dengan wang hasil jualan, namun tidak berminat untuk menjaga kepentingan syarikat terbabit.

“Khabarnya bukan Jaring saja yang menjadi mangsa. Kita agak kecewa kerana tindakan segera untuk menyekatnya tidak dilakukan, padahal agensi kerajaan tertentu tahu keadaannya.

“Kita juga kecewa kerana pihak MKD tidak berhati-hati dalam memilih pembeli Jaring,” ujarnya.

Beliau berkata, perkhidmatan Internet terulung di Malaysia yang dibangunkannya dengan nama RangKoM pada 1986 dilancarkan dengan nama Jaring pada 1992 yang menjadi anak syarikat MIMOS pada 2002 sebelum diambil alih MKD.

“Kita akan lihat perkembangan selanjutnya dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya.

Dr Mohamed melepaskan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif pada 2011 yang kemudiannya digantikan Nik Abdul Aziz Nik Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 11:36 AM