Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna bagi 12 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Jagaan Kanak-Kanak Sayang apabila mereka berpeluang memiliki pakaian baru sumbangan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.

Seperti program sama sebelumnya, syarikat itu turut membawa kanak-kanak terbabit ke pusat beli-belah bagi memilih sendiri pakaian yang mereka mahukan.

Kali ini, mereka dibawa membeli-belah di Little India, Klang bersama kakitangan syarikat berkenaan dan setiap kanak-kanak diberi peruntukan RM200 untuk membeli pakaian baru.

Pengurus Hal Ehwal Korporatnya Cariessa Goh berkata, seperti perayaan lain, Deepavali juga masa untuk berkumpul bersama seisi keluarga.

Katanya, meskipun kanak-kanak berkenaan tidak berpeluang menikmati keseronokan bersama keluarga, bukan bermakna mereka tidak dapat meraikan perayaan berkenaan.

"Menerusi program ini, kami berusaha menceriakan perayaan Deepavali mereka. Kami mahu kanak-kanak ini tahu mereka tidak keseorangan kerana F&N prihatin dengan nasib mereka," katanya.

Sementara itu, saat berkenaan sememangnya dinantikan penghuni Rumah Jagaan Kanak-kanak Sayang yang kebanyakannya terabai dan datang daripada keluarga kurang bernasib baik.

Memandangkn ada di antaranya tidak pernah mendapat peluang keluar membeli-belah, mereka amat teruja dengan kesempatan diberikan itu.

Program edisi keempat itu bermula dengan sarapan ringan sebelum kanak-kanak terbabit dibawa ke gedung pakaian untuk mencari pakaian tradisional dengan corak dan warna kegemaran masing-masing.

Sri Svwetha, 11, dan rakannya tidak dapat me­nyembunyikan perasaan gembira apabila tiba di gedung tekstil beraneka warna itu.

Kata Sri, sebaik saja diberitahu mengenai peluang ini, saya dan rakan-rakan tidak tidur lena kerana begitu teruja menantikan saat yang ditunggu itu.

"Kami gembira kerana berpeluang memiliki pakaian baru untuk Deepavali kali ini. Lebih seronok apabila boleh pilih sendiri pakaian yang kami suka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:20 AM