Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Peniaga runcit di luar bandar yang menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bakal dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya mendapat aduan daripada pengguna berhubung kenaikan barang keperluan harian walaupun peruncit tidak berdaftar GST.

Katanya, tindakan mereka itu memberi imej buruk kepada kerajaan atas pelaksanaan GST.

"Kita akan mengambil tindakan tegas dengan membuat serbuan mengejut di kawasan luar bandar hari ini yang disertai 200 anggota penguatkuasa," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga minggu ini pihaknya menerima 369 aduan daripada pengguna berhubung kenaikan barang.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 108 diberikan notis mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 1:38 PM