DR Wazir menunjukkan buku mengenai masakan masyarakat Jawi Peranakan.
DR Wazir menunjukkan buku mengenai masakan masyarakat Jawi Peranakan.
MAJLIS perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan.
MAJLIS perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan.
GAMBAR lakaran Tanjung Tokong yang juga antara penempatan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang.
GAMBAR lakaran Tanjung Tokong yang juga antara penempatan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Masyarakat campuran Jawi Peranakan atau ‘anak tanjung’ sering dikaitkan dengan rupa menawan dan tampan, namun ramai menganggap mereka ialah etnik mamak.

Turut dikenali sebagai Jawi Pekan, mereka kacukan Melayu dengan etnik India di bahagian utara iaitu Arab, Punjabi, Benggali, Turki, Parsi, Gujerati dan Afghani.

Masyarakat ini terbentuk pada zaman Malaya British apabila saudagar dari India berkahwin dengan wanita Melayu tempatan.

Mereka turut dikenali kerana status serta kekayaannya dan berkembang di Pulau Pinang sekitar 1740-an, malah pernah menerbitkan akhbar bahasa Melayu pertama, Jawi Peranakan.

Pengerusi Persatuan Jawi Peranakan Pulau Pinang Datuk Dr Wazir Jahan Abdul Karim, berkata Jawi Pekan berkembang di negeri ini berikutan pertumbuhan ekonomi di pulau itu dan menjalankan perdagangan rempah, buah-buahan, kain, arang, beras, bawang serta emas.

Beliau berkata, mereka tertumpu di kawasan berhampiran laut seperti di Tanjung Tokong, Lebuh Acheh, Jalan Transfer, Jalan Argyll, Jalan Kapitan Keling, Lebuh Melayu dan Lebuh Armenian.

“Ada yang bekerja sebagai pesawah dan peladang malah sulaman yang dihasilkan mempunyai nilai komersial dan bermotif bunga jasmin,” katanya.

Katanya, masyarakat Jawi Pekan boleh dibezakan dengan mamak melalui penggunaan nama dan wajah, malah pertuturan mereka juga berbeza.

“Etnik mamak adalah campuran Melayu dengan India di bahagian selatan dan mereka bertutur bahasa Tamil selain bahasa Melayu serta Inggeris.

“Manakala masyarakat Jawi Pekan tidak pandai bertutur Tamil sebaliknya menggunakan bahasa Melayu dengan loghat Pulau Pinang selain bahasa Inggeris atau Arab.

“Etnik Jawi Pekan gemar menggunakan nama seperti Sultan Maideen (SM), Maideen, Merican dan Shaikh,” katanya.

Menurutnya, budaya masyarakat Jawi Pekan tidak banyak berbeza dengan masyarakat Melayu termasuk perkahwinan kerana pasangan pengantin turut dipakaikan inai pada jari.

“Cuma, masyarakat kami, ahli keluarga akan menyuap gula kepada pengantin sebagai simbolik terhadap kemanisan hidup berumah tangga dan majlis perkahwinan diserikan dengan tarian yang disertai keluarga serta tetamu,” katanya.

“Masyarakat Jawi Peranakan, katanya terkenal dengan juadah nasi lemuni, laksa lemak, acar buah dan jawi bamieh atau dalam bahasa Arab bermaksud bendi yang berasal dari Yaman, Mesir serta Oman.

“Manakala dari segi perubatan tradisional, masyarakat itu mengamalkan perubatan ayurveda dan herba. Mereka turut menggunakan daun lemuni dalam masakan dan perubatan.

“Jawi Peranakan tidak gemar masakan pedas atau menambah santan dalam masakan sebaliknya banyak menggunakan bawang dan tomato.

“Daun lemuni banyak digunakan dalam masakan dan perubatan kerana mempunyai pelbagai vitamin, protein serta zat besi yang baik kepada wanita khususnya ibu berpantang,” katanya.

Masyarakat Jawi Peranakan banyak menceburui bidang politik, pakar ekonomi, doktor, peguam dan ahli perniagaan, antaranya Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Dr Wazir Jahan kini mengasaskan Jawi House Cafe Gallery di Lebuh Armenian yang berkonsepkan masakan Jawi Peranakan sejak Ogos 2013.

Beliau dibantu anak bongsunya, Nurilkarim Mohd Razak, 25, yang menjadi pengurus dan chef di restoran itu.

“Kafe ini sebagai dedikasi saya buat ibu, Begum Bismillah Begum yang pandai memasak.Ia juga simbolik kepada identiti Jawi Peranakan di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 2:09 PM