YUSSOF bersama isteri dan anak-anaknya.
YUSSOF bersama isteri dan anak-anaknya.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Masyarakat Jawi Peranakan daripada campuran Melayu dan India mempunyai adat dan kepercayaan unik dalam mendidik moral serta jati diri mereka.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Tan Sri Mohd Yussof Latiff, 85, berkata, datuknya seorang pedagang dari India yang tinggal di negeri ini dan berkahwin dengan neneknya, wanita tempatan.

Yusoff yang juga generasi keempat mengakui adat dan budaya campuran itu lebih kepada amalan masyarakat dari India, namun masih mengikut kesesuaian amalan masyarakat Melayu.

Beliau berkata, dalam sesebuah majlis perkahwinan, ia berlangsung antara tiga hingga tujuh malam.

“Penganjuran majlis secara besar-besaran bukan bertujuan bermegah dengan kemewahan, tetapi meraikan pasangan pengantin dan tetamu kerana keluarga pengantin amat mementingkan layanan kepada tetamu.

“Majlis pernikahan dilakukan selepas waktu Maghrib hingga tengah malam dan diserikan dengan pelbagai acara hiburan berunsurkan ketuhanan seperti nasyid, marhaban dan permainan saji yang menyanyikan lagu pujian kepada Nabi Muhammad serta sahabat baginda.

“Sebelum menantu pulang ke rumah suami, pasangan pengantin baru itu akan melutut di atas tikar simbolik memohon restu dan suami akan memberi hadiah kepada ibu bapa isteri,” katanya.

Katanya, tetamu dalam kalangan wanita akan berhias dengan barangan kemas dan ia sesuatu yang wajib dipakai ketika menghadiri sesebuah majlis.

Beliau berkata, wanita akan meminjam barangan kemas daripada jiran dan saudara-mara jika tidak cukup perhiasan di tubuh mereka.

“Jika si ibu selesai menghadiri majlis kenduri dan pulang ke rumah, anaknya akan bergilir-gilir memakai perhiasan itu bagi ke majlis kenduri berkenaan.

“Pakaian bagi sebarang majlis ialah kebaya labuh bagi wanita manakala lelaki mengenakan kot dan kain pelekat serta ‘tarbus keling’ di kepala,” katanya.

Katanya, amalan bagi wanita hamil turut diadakan sebelum kehamilan menjangkau usia enam bulan iaitu jamuan hidangan pulut kuning.

Menurutnya, wanita hamil itu perlu memberi segantang beras, kelapa dan sumbu kepada bidan dalam adat ‘kirim perut’ bagi memohon kesihatan bayi yang dikandung.

“Amalan ‘pijak tanah’ juga diadakan bagi bayi berusia 14 hari iaitu memijak tanah sebagai simbolik kesejahteraan dan bagi mengelak gangguan makhluk halus atau penyakit.

“Namun, ia sekadar amalan nenek moyang dan tidak lagi dilakukan sekarang kerana tidak sesuai dengan Islam.

“Amalan itu mungkin ada kaitan dengan pantang larang orang tua yang mungkin bagi menakutkan kita saja,” katanya.

Etnik campuran itu, katanya tidak makan pedas, tetapi gemar juadah berkari serta banyak menggunakan daun ketumbar.

“Ada generasi pertama dan kedua tidak boleh menghidu bau cili dan sambal belacan di rumah.

“Ini menyebabkan isteri yang berbangsa Melayu terpaksa makan nasi bersama sambal belacan secara sembunyi dan tanpa pengetahuan suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 2:03 PM