Berlin: Pep Guardiola mengakui pertemuan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang FC Porto awal pagi esok secara efektifnya adalah ‘final’ buat Bayern Munich ketika kelab Bavaria dibelenggu kecederaan itu mungkin tersingkir.

Impian Bayern mengulangi kejayaan tiga trofi Liga Juara-Juara, liga dan piala pada 2013 kelihatan terjejas minggu lalu apabila Ricardo Quaresma meledak dua gol awal sebelum kapten Jackson Martinez menyumbat gol ketiga bagi memastikan kemenangan 3-1 Porto pada suku akhir pertama di Estadio do Dragao.

Dalam empat percubaan terakhir, Bayern tidak pernah berjaya mengatasi defisit dua gol pada pertandingan Eropah dan Guardiola sedar pasukannya berdepan tugas getir di Arena Allianz.

“Perlawanan ini final kami dan kami perlu mempamerkan persembahan luar biasa,” jelas ketua jurulatih Bayern itu.

“Ia sukar, tapi kami perlu mencuba dan saya yakin dengan semua pemain.”

Bagi menambah masalahnya, Guardiola mempunyai lapan pemain dalam senarai kecederaan dan doktor pasukan Hans-Wilhelm Mueller-Wohlfahrt secara dramatik meletakkan jawatan Khamis lalu selepas 40 tahun bersama Bayern, menyatakan kurang yakin dengan staf perubatan.

“Kami sedar ini perlawanan paling penting musim ini,” kata penjaga gol Jerman, Manuel Neuer (gambar).

“Setiap orang akan melakukan apa saja supaya kami dapat mempamerkan persembahan terbaik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:45 AM