UNIT Forensik PDRM sedang mengangkat mayat kakitangan bank. FOTO Mohd Azren Jamaludin
UNIT Forensik PDRM sedang mengangkat mayat kakitangan bank. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Asmah Rusman dan Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pegawai bank maut selepas ditikam pengawal keselamatan, manakala seorang lagi cedera dalam satu kejadian amuk di sebuah bank di Taman Molek, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang tadi, mangsa yang juga lelaki berusia 33 tahun maut dan ditemui terbaring dalam ruang pejabat bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh mengesahkan mangsa maut dipercayai akibat ditikam suspek menggunakan pisau.

Beliau berkata, suspek berusia 40-an ditahan sejurus pihak polis tiba di tempat kejadian dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, pula menjelaskan kejadian itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap pengurusan bank berkenaan.

“Suspek mengamuk dan melakukan serangan di dalam bank berkenaan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.

“Dia tikam pegawai bank hingga mati manakala seorang pegawai bank wanita parah akibat dikelar," katanya dalam sidang media selepas Upacara Sembahyang Khas Agama Hindu sempena Sambutan Hari Polis ke 208 di Kuil Sri Kandaswamy, Brickfields.

Noor Rashid menjelaskan, suspek yang berusia 40-an itu sudah ditahan dan siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 7:22 PM