Budak perempuan berusia tiga tahun terperangkap 30 minit dalam kereta Perodua Kenari di laman rumahnya, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Budak perempuan berusia tiga tahun terperangkap 30 minit dalam kereta Perodua Kenari di laman rumahnya, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Yan: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terperangkap 30 minit dalam kereta Perodua Kenari di laman rumahnya di hadapan Klinik Desa Sungai Limau Luar, Guar Chempedak, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 9.15 pagi ketika kanak-kanak itu, Saerah Umairah Mohd Sufian, 3, dipercayai bermain seorang diri dalam kereta sebelum tiba-tiba terkunci dari dalam.

Ahli keluarga yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dihantar ke lokasi untuk membantu.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, lima anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II P Manimaran mendapati kanak-kanak terbabit terperangkap dalam kereta Perodua Kenari itu.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada 9.49 pagi dan diserahkan kepada keluarganya dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 4:52 PM