MOHAMED Nazri (tengah) bersama Penasihat APM 2014/2015 Datuk Ong Hong Peng (kiri) dan Pengerusi APM 2014/2015 Datuk Mirza Mohammad Taiyab berucap semasa majlis sidang media Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015
MOHAMED Nazri (tengah) bersama Penasihat APM 2014/2015 Datuk Ong Hong Peng (kiri) dan Pengerusi APM 2014/2015 Datuk Mirza Mohammad Taiyab berucap semasa majlis sidang media Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015

Dikenali Anugerah Emas Pelancongan Malaysia ketika pertama kali di perkenalkan pada 1987, kini anugerah berprestij yang dijenamakan semula sebagai Anugerah Pelancongan Malaysia pada 1993 kembali membuka pencalonan untuk edisi ke-19.

Diadakan setiap dua tahun, Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 (APM) itu satu penganugerahan yang memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan tempatan serta antarabangsa.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata APM adalah pengiktirafan tertinggi kepada individu dan organisasi yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan dan kejayaan industri pelancongan di negara ini.

Beliau berkata, APM juga sebagai insentif bagi peserta berusaha lebih keras bagi mencapai tahap profesional.

“Anugerah setiap dua tahun ini berkembang daripada program yang hanya tertumpu kepada skop pelancongan dan perjalanan kepada industri perkhidmatan.

“Ia juga mengiktiraf penggiat industri yang mampu menghasilkan idea luar biasa bagi membangunkan produk dan perkhidmatan di Malaysia,” katanya.

Anugerah berprestij APM 2014/2015 itu memperkenalkan beberapa perubahan bagi memberi gambaran lebih baik terhadap landskap industri pelancongan global terkini.

Ia mempunyai 14 kategori dan 50 subkategori untuk dipertandingkan pada APM 2014/2015 ini.

Selain kategori ini, bagi merancakkan lagi APM 2014/2015 ini, dua kategori baru diperkenalkan ialah Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia.

“Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada penerbitan dokumentari pelancongan mengenai Malaysia yang ditayangkan dalam pelbagai medium elektronik dan talian (online).

“Anugerah Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia memberi pengiktirafan kepada pengusaha yang mempromosikan pelancongan Malaysia secara dalam talian,” katanya.

Bagi yang ingin menghantar penyertaan dalam 14 kategori yang dipertandingkan, pencalonan untuk Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 kini di buka dan berakhir pada 30 Jun 2015.

Borang pencalonan boleh dimuat turun melalui laman web www.motac.gov.my atau www.tourismmalaysia.gov.my.

Borang lengkap dan sebarang pertanyaan boleh dihantar ke: Jawatankuasa Penghakiman, Sekretariat Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015, Lembaga Penggalakan Pelancongan malaysia Tingkat 2, No. 2, Menara 1, Jalan P5/6 Persint 5, 62200 Putrajaya atau email: [email protected]

Ahli perdagangan pelancongan antarabangsa juga dijemput menghantar pencalonan untuk kategori yang berkaitan dengan melayari www.tourismmalaysia.gov.my untuk mendapatkan senarai pejabat Tourism Malaysia di luar negara.

INFO

14 kategori yang dipertandingkan

- Pengusaha Pelancongan Tempatan Terbaik

- Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik

- Artikel Pelancongan Terbaik

- Penerbitan Pelancongan Terbaik

- Perkhidmatan Hotel Terbaik

- Tarikan Pelancongan Terbaik

- Pakej Pelancongan Terbaik

- Pemandu Pelancong Terbaik

- Pusat Membeli-belah Berinovasi

- Inap Desa Terbaik

- Spa Terbaik

- Restoran Berinovasi

- Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia

- Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 11:54 AM