Anyeonghaseyo! Ming­gu lalu Ulzzang! memaparkan kisah hangat membabitkan anggota kumpulan paling kontroversi sekarang EXO apabila Lay digembar-gemburkan seperti mahu meninggalkan kumpulan itu.

Kontroversi itu makin panas apabila Lay dikatakan bersikap talam dua muka dan peminat semakin menyampah dengan permainan tarik talinya.

Tindakannya tidak menyertai aktiviti membabitkan EXO mengundang 1,001 persoalan.

Kritikan demi kritikan dilemparkan kepadanya gara-gara terlalu fokus kepada karier solo. Tentu sekali perkara itu mencetuskan kebimbangan terhadap peminat EXO apalagi dua anggotanya sebelum ini Kris dan Luhan mengambil keputusan menarik diri.

Bagaimanapun, agensi kumpulan itu mempertahankan tindakan Lay walaupun sudah ada peminat mula menggesa Lay disingkirkan.

“Lay memang diberi ruang untuk aktif dengan karier solonya dan dia kini sibuk mengadakan promosi di China. Namun, dia masih aktif sebagai anggota EXO,” kata agensi itu.

Membuka Ulzzang! minggu ini mengenai ang­gota 2NE1 iaitu CL yang namanya semakin dikenali terutama di pentas antarabangsa seiring ‘superstar’ berpengaruh yang lain.

Hakikatnya, CL berjaya mengatasi populariti selebriti hebat seperti Rihanna, Taylor Swift mahupun Lady Gaga berdasarkan sebuah keputusan undian yang dijalankan majalah Time baru-baru ini.

Apa yang menarik, Presiden Russia, Vladimir Putin juga mendapat undian tertinggi dan bersaing sengit dengan CL selepas undian ditutup pada 10 April lalu.

Tiga hari kemudian, Time mengumumkan keputusannya yang jelas berpihak kepada Putin, sekali gus menduduki tangga pertama 100 Paling Berpengaruh Time diikuti CL.

Menariknya, perbezaan undian mereka hanya 0.05 peratus.

Menurut Time, lebih separuh hasil undian berkenaan diambil daripada pembaca di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom. Ternyata, nama CL sememangnya kini bukan calang-calang lagi di barat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:07 AM