VILLA-BOAS (kanan) hilang khidmat Hulk yang digantung perlawanan.
VILLA-BOAS (kanan) hilang khidmat Hulk yang digantung perlawanan.

Paris: Penyandang juara Sevilla menanti kunjungan Zenit Saint Petersburg yang dibelenggu penggantungan pada suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi esok.

Pendahulu liga Russia kendalian Andre Villas-Boas itu bertandang ke Sepanyol dengan kehilangan tidak kurang lima pemain utama.

Pertahanan Domenico Criscito dan Igor Smolnikov, kapten Miguel Danny dan bintang serangan Brazil, Hulk semuanya digantung perlawanan selepas menerima kad kuning ketiga pada perlawanan kedua pusingan kedua menentang Torino.

Tugas Villas-Boas lebih getir tanpa pemain tengah kebangsaan Russia, Viktor Faizulin yang memulihkan diri daripada pembedahan lutut.

“Kami perlu fikirkan barisan pemain kerana empat pemain digantung dan juga fokus objektif perlawanan ini,” ujar bos Zenit itu.

Juara 2008 itu berdepan tugas getir menentang Sevilla yang baru saja mengikat Barcelona 2-2 pada aksi La Liga hujung minggu lalu.

Keputusan itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di laman sendiri kepada 33 perlawanan dan kekal empat mata di belakang Atletico Madrid dalam perebutan tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Sevilla yang meraih kejuaraan Liga Europa ketiga selepas mengatasi Benfica menerusi penentuan penalti tahun lalu, mahu mencari kelebihan awal pagi esok menjelang perlawanan timbal balik di Russia bulan depan. Mereka menundukkan Zenit 5-2 pada peringkat sama pada 2006.

“Memenangi Liga Europa buat tahun kedua berturut-turut pasti amat rumit,” kata Fernando Navarro, pertahanan Sevilla dan pemenang Euro 2008 bersama Sepanyol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:13 AM