Jakarta: Dua parti Islam semalam mengusulkan undang-undang yang akan mengharamkan minum arak dan mengenakan hukuman penjara sehingga dua tahun terhadap pesalah.

Setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sokongan yang akan membolehkan rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

“Menurut rang undang-undang itu, meminum arak boleh menyebabkan pesalah dipenjara dan kesalahan itu dianggap sama dengan mengedar dadah,” lapor akbar Jakarta Post, memetik kenyataan Muhammad Arwani Thomafi dari Parti Persatuan Pembangunan.

Rang undang-undang itu bertujuan mengharamkan penjualan, pengeluaran, pengedaran dan minum semua bentuk minuman yang mengandungi lebih satu peratus alkohol.

Parti dan pegawai kerajaan di sebalik usul itu tidak dapat diubungi untuk mengulas laporan berkenaan.

Jualan arak seperti jenama Bintang yang dihasilkan oleh syarikat tempatan dengan majoriti sahamnya dikuasai Heineken menyaksikan peningkatan mendadak di negara yang mempunyai kira-kira 250 juta penduduk itu.

Syarikat pembuat arak lain yang turut bertapak di negara itu, termasuk Diageo dan Carlsberg.

Satu peraturan mengharamkan penjualan haram di pasar mini akan berkuatkuasa esok walaupun ia masih dibenar dijual di pasar raya, hotel, bar dan restoran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:38 AM