PRODUK minyak angin pelbagai guna.
PRODUK minyak angin pelbagai guna.
KUALITI produk menjadi keutamaan syarikat.
KUALITI produk menjadi keutamaan syarikat.
NUR Hidayah bersama produk inovasi minyak pelbagai guna kelapa dara.
NUR Hidayah bersama produk inovasi minyak pelbagai guna kelapa dara.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Minyak kelapa dara mempunyai pelbagai khasiat kesihatan yang sudah terbukti berkesan.

Ia dihasilkan menerusi teknik fermentasi dan mengandungi vitamin E yang diperlukan sistem imunisasi dan antioksidan kepada manusia.

Banyak hasil penyelidikan diterjemahkan saintis tempatan dalam bentuk produk.

Khasiat minyak kelapa dara (VCO) menarik minat ramai pihak mengusahakannya secara komersial.

Namun, di pasaran tidak banyak produk yang dikembangkan daripada minyak kelapa dara.

Proses pembuatannya yang kurang sempurna mengakibatkan minyak mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kesannya, produk kelapa dara buatan tempatan kurang mendapat sambutan.

Siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Hidayah Hassan mencipta formulasi baru bagi minyak kelapa dara.

Pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa itu memberi nilai tambah kepada produk minyak kelapa dara di pasaran.

Tidak ada lagi istilah ‘bau tengik’ apabila bahan itu diadun bersama campuran minyak aromaterapi.

Dia mengambil masa empat tahun membangunkan produk itu.

“Dulu saya menghidap penyakit migrain, tekanan darah rendah, rabun, lelah dan juga ekzema.

“Penyakit itu dihadapi dari kecil hingga dewasa dan bergantung kepada ubatan berdos rendah ke tinggi,” katanya.

Ketika itu, dia sanggup membeli produk yang dapat menyelesaikan semua masalahnya.

“Saya gunakan minyak kelapa dara, tetapi tidak tahan dengan bau,” katanya.

Maka, tercetuslah idea menakjubkan untuk mengeluarkan minyak kelapa dara serba guna.

Katanya, dia memformulasikan semula minyak kelapa dara dengan campuran minyak aromaterapi bagi membangkitkan bau wangi.

“Bila menggunakan bau tidak sedap, kita akan rasa lagi sakit.

“Sedangkan bau wangi menyebabkan kita rasa sihat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Syarikat Nebula Horizon Sdn Bhd itu mengeluarkan minyak serbaguna Miracle Refreshing Scent (MRS).

Menurutnya, rasa sejuk dan berangin membolehkan produk itu digunakan setiap orang.

“MRS produk yang wajib ada pada setiap orang dan disimpan dalam poket kerana ia diperlukan ketika kecemasan.

“Ia membantu untuk penyakit seperti lenguh badan, mengantuk, letih dan sakit kepala,” katanya.

“Ia juga sesuai untuk bayi yang kembung perut selain mengatasi masalah ruam lampin pada kulit,” katanya.

Testimoni pengguna merumuskan MRS melegakan sakit gigi dan gusi, batuk, selesema, migrain, resdung, kekejangan, pendarahan, luka pesakit diabetes, sawan, gigitan nyamuk dan parut.

Syarikat itu turut mengeluarkan produk inovasi kedua dikenali ‘MRS Serum Essence’.

“Inovasi kedua ini mengandungi bahan seperti pati epal hijau, pati daun pudina dan minyak kelapa dara,” katanya.

Layari laman facebook: Miracle Refreshing Offical Page untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:16 PM