ANGGOTA polis memeriksa bangkai sebuah lori pikap yang musnah dalam kejadian bom kereta di sebuah pusat beli-belah di pulau Koh Samui.
ANGGOTA polis memeriksa bangkai sebuah lori pikap yang musnah dalam kejadian bom kereta di sebuah pusat beli-belah di pulau Koh Samui.
Agensi

Koh Samui, Thailand: Sebuah bom kereta yang meletup di pusat pelancongan popular di sini, lewat kelmarin menyebabkan tujuh orang cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Itali, kata polis, semalam.

Bom berkenaan diletakkan di dalam sebuah lori pikap jenis
Mazda dan diletupkan di tempat letak kereta bawah tanah sebuah pasar raya di sini.

Jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri berkata, lori itu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dilaporkan hilang di Yala, selatan negara itu pada 31 Mac lalu.

“Ini serangan bom kereta, tetapi kami masih belum dapat mengesahkan jenis bom yang digunakan,” katanya.

Enam rakyat Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Itali berusia 12 tahun dilaporkan cedera ringan dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun, semua mangsa dibenarkan pulang selepas dirawat di hospital.

Sementara itu, jurucakap tentera Sansern Kaewkamnerd berkata, serangan itu mungkin berkaitan dengan kekacauan politik di negara berkenaan.

“Laporan awal menunjukkan serangan itu dilakukan oleh kumpulan sama yang melancarkan serangan bom di Bangkok,” ujarnya.

Menurutnya, serangan itu mempunyai kaitan dengan dua serangan bom kecil yang meletup di luar sebuah pusat beli-belah di Bangkok dan mencederakan dua orang pada Februari lalu.

Ketua junta tentera yang juga Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha sebelum ini berkata, serangan di Bangkok itu bertujuan untuk memburukkan kerajaan.

Serangan berkenaan berlaku ketika junta tentera berusaha meyakinkan pelancong bahawa negara itu masih selamat dikunjungi selepas rampasan kuasa pada tahun lalu.

Koh Samui antara pulau pelancongan popular di Thailand.

Setiap tahun seramai 20 juta pelancong melawat negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:11 AM